Segalanya tenang dan terkawal, tiada perlu dibimbangkan - itu mesej yang disampaikan PKR Selangor ketika kerajaan negeri terbabit berdepan beberapa isu panas.

Menurut Ketua Penerangan PKR Selangor Elizabeth Wong tidak ada kebenaran dalam pelbagai cakap-cakap yang meluas diperkatakan sekarang, termasuk isu menteri besar berdepan undi tidak percaya di dewan undangan negeri.

Dalam kenyataan dikeluarkan hari ini Wong juga menegaskan desas-desus mengenai pemecatan Speaker DUN Selangor, Ng Suee Lin juga tidak benar.

"Khabar angin tersebut sengaja direka bagi tujuan mewujudkan ketegangan di antara menteri besar dengan speaker, sekali gus memecah-belahkan kesatuan PH Selangor," katanya.

Selangor terus menjadi perhatian ramai ekoran beberapa isu yang melanda, termasuk kegagalan Menteri Besar Amirudin Shari hadir sesi pemukiman PKR di Port Dickson, sokongan terbuka diberikannya kepada Menteri Hal Ehwal Ekonomi Azmin Ali berbanding presisden parti, Anwar Ibrahim, dan isu pindaan Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor.

Cadangan pindaan itu belum dapat dibentangkan apabila Ng tidak memberikan kelulusan untuk ia dibawa ke DUN Selangor.

Wong berkata ada tangan-tangan ghaib sedang gigih cuba mewujudkan suasana tidak stabil di Selangor.

Mengenai pertemuan Amirudin dengan pengerusi majlis pimpinan PH pula, Wong menjelaskan, ia bukanlah sesuatu yang luar biasa kerana memang kerap dilakukan untuk membincangkan isu semasa.

"Malah mesyuarat PH hari ini dijadual dan dimaklumkan kepada Biro Politik PKR Selangor sejak Julai lepas," katanya.

Wong yang juga Adun Bukit Lanjan menambah, pertemuan Amirudin dengan Azmin pada hari ini juga adalah perkara biasa kerana ia dibuat selaras dengan lawatan rasmi menteri terbabit ke Selangor.

Dalam lawatan tersebut, kata Wong, Azmin berhasrat menyantuni orang ramai di peringkat akar umbi dalam usaha menyiapkan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) sebelum ia dibentangkan di Dewan Rakyat hujung tahun ini.

"Hakikatnya, Selangor bukanlah destinasi pertama yang dikunjungi Menteri Hal Ehwal Ehwal Ekonomi kerana sebelum ini negeri lain sudah dilawati, seperti Melaka pada 5 Julai, Johor (11 Julai), Perak (22 Julai), Sabah (26 Julai) dan Sarawak (27 Julai).

"Majlis makan malam tersebut akan disusuli sesi libat urus penyediaan RMK12 Selangor dan pada 9 Ogos klerajaan negeri akan mengemukakan beberapa cadangan kepada Kementerian Hal Ehwal Ekonomi untuk memenuhi permintaan dan keperluan semasa rakyat," katanya.

Justeru kata Wong kerajaan Selangor giat menjalankan program demi kepentingan rakyat

"Namun, ada pihak yang akan sentiasa mengintai peluang untuk menimbulkan polemik yang tidak berasas demi kepentingan politik. Saya yakin rakyat Selangor bijak menilai," katanya.