Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

PAS Selangor tidak mahu peristiwa "Langkah Kajang" berulang di negeri itu susulan kedudukan Menteri Besar Amirudin Shari yang dilaporkan goyah kesan beberapa konflik di negeri tersebut.

Pada masa sama, Pesuruhjaya PAS Dr Ahmad Yunus Hairi, berkata pembangkang menyokong Amirudin sebagai menteri besar sehingga penggal pentadbiran sedia ada berakhir.

"PAS dan Umno menyokong menteri besar Selangor kekal sehingga habis tempoh.

"Kami tidak mahu Langkah Kajang berlaku lagi di negeri Selangor. Saya lihat, pihak istana juga tidak berminat dengan isu-isu ini," katanya.

Beliau yang menjadi Adun tunggal PAS di DUN Selangor ketika ini menjelaskan tumpuan utama kerajaan negeri sepatutnya terarah kepada aspek kepentingan rakyat.

"Apa yang penting, kerajaan yang ada ini menjaga kebajikan rakyat. Hentikanlah (hal-hal) remeh-temeh kekecohan dalam kalangan mereka," katanya.

Yunus berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri mesyuarat jawatankuasa penyelarasan antara Umno dan PAS di Shah Alam, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Umno Selangor Mat Nadzari Ahmad Dahlan serta anggota jawatankuasa peringkat negeri kedua-dua parti.

Sokong atau tidak hak Adun

Langkah Kajang merujuk kepada cubaan PKR menukar menteri besar Selangor ketika itu, Khalid Ibrahim, melalui peletakan jawatan Adun Kajang, Lee Chin Cheh, pada 2014.

Asalnya ia cubaan memberi laluan kepada Anwar Ibrahim menjadi menteri besar namun tergendala apabila presiden PKR itu didakwa di mahkamah.

Sekumpulan pemimpin PKR kemudian mengatur langkah agar Dr Wan Azizah Wan Ismail - yang juga presiden parti tersebut pada ketika itu - bertanding dan menjadi menteri besar.

Sekali lagi ia gagal apabila PAS yang menjadi sebahagian daripada gabungan Pakatan Rakyat menolaknya.

Akhirnya Timbalan Presiden PKR Azmin Ali dilantik sebagai menteri besar baru ketika itu.

Sementara itu menyentuh mengenai kemelut yang berlaku sewaktu persidangan DUN Selangor minggu lalu apabila Speaker, Ng Suee Lim, didakwa menangguhkan persidangan sebelum rang undang-undang berkaitan pentadbiran Islam dibentangkan, Yunus berkata isu berkenaan tidak sepatutnya timbul.

Katanya ketika ini PH menguasai 50 daripada 56 kerusi DUN dan usul tersebut wajar dibentangkan.


Baca Adun DAP ikrar halang cubaan singkir speaker S'gor


Kegagalan kerajaan negeri membentangkan usul pindaan tersebut, kata bekas exco itu, adalah sangat memalukan.

"Mereka mempunyai kerajaan yang cukup selesa, 50 Adun daripada 56 kerusi.

"Tidak boleh bawa usul ke dewan adalah sesuatu perkara yang amat memalukan kerajaan," katanya.

Pada masa sama Yunus memberitahu pembangkang pula akan memberi sokongan penuh terhadap cadangan positif melibatkan Islam.

"Bawalah, bahaskan. Sokong atau tidak, itu hak Adun.

"Ini, hendak bawa usul dengan kekuatan kerajaan 50 kerusi tidak mampu hendak bawa.

"Apa kita hendak sebut mereka ini? Kerajaan lemah? Orang marah pada saya, tetapi hakikatnya begitulah," katanya.

Lihat Komen
ADS