Faktor utama kekuatan ummah bagi sesebuah negara bergantung pada perpaduan yang utuh di kalangan rakyat dan pemimpinnya, pesan khutbah Jumaat di masjid-masjid di Selangor hari ini.

Menurut mimbar, hubungan erat antara raja atau pemimpin dengan rakyat merupakan amalan yang sudah lama berlaku sejak dahulu, baik dalam tradisi kepimpinan Islam mahupun kesultanan Melayu.

“Budaya ini sewajarnya terus diamalkan dan dipertahankan demi memelihara agama, bangsa dan negara.

“Usaha untuk membentuk kekuatan ummah bagi sesebuah negara bukan setakat penyokong yang ramai, semangat yang berkobar, kepetahan berpidato, tetapi yang lebih penting dan utama ialah perpaduan yang utuh di kalangan semua rakyat dan pemimpin,” kata mimbar.

Memetik titah Yang di-Pertuan Agong ketika pertabalan baginda baru-baru ini, khatib mengulangi peringatan supaya semua pihak jangan sekali-kali mencetuskan api permusuhan dengan membangkitkan perkara yang boleh menggugat dan meruntuhkan keharmonian negara.

“Gejala fitnah yang membawa perbalahan akan menjadi bertambah buruk sekiranya tidak dibendung dan dikawal boleh membangkitkan keresahan di kalangan masyarakat dan menimbulkan perpecahan,” katanya.

Pesan khatib lagi, amalan itu bukan sahaja buruk, malah termasuk dalam salah satu perbuatan dosa besar yang akan dibalas dengan seksaan yang berat di hari akhirat kelak.

“Marilah kita bersama-sama membangunkan masyarakat yang gagah perkasa, bermaruah, berwibawa dan menghormati nilai-nilai kemanusiaan sejagat yang sejati seperti yang dikehendaki oleh agama Islam.

“Jauhkanlah daripada perkara yang boleh membawa kepada permusuhan dan perpecahan sesama sendiri yang amat merugikan kita. Kita perlukan negara yang aman dan harmoni serta diberkati Allah SWT [...]” kata mimbar lagi.