Pembangkang hari ini mempertikaikan arahan Ketua Polis Negara Tan Sri Mohd Bakri Omar agar semua pegawai polis wanita memakai tudung semasa acara rasmi.

Ketua Wanita DAP Chong Eng berkata alasan bahawa arahan itu untuk keseragaman adalah tidak memadai.

"Saya akan sokong jika Mohd Bakri boleh meyakinkan saya bahawa keseragaman akan membawa kepada keberkesanan dan keselesaan pegawai wanita ketika menjalankan tugas mereka," katanya kepada pemberita di Lobi Parlimen, di sini.

Laporan media hari ini menyebut arahan itu dikeluarkan oleh Mohd Bakri, menjelang perarakan Sabutan Hari Polis ke-199 Sabtu ini, atas alasan keseragaman.

Menurut laporan Bernama, Mohd Bakri juga berkata pegawai wanita terbabit boleh membuka tudung mereka selepas berakhirnya acara rasmi.

Sementara itu, Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri Datuk Fu Ah Kiow ketika ditanya perkara itu, berkata arahan itu tidak meliputi semua pegawai polis wanita.

"Ia bukanlah satu kemestian bagi pegawai wanita bukan Islam untuk memakai tudung. Mereka mempunyai pilihan," katanya kepada pemberita.