Kertas siasatan kes rogol exco Perak dipulangkan kali kedua
Polis akan menyiapkan kertas siasatan berhubung kes pembantu rumah warga Indonesia yang mendakwa dirogol oleh exco kerajaan Perak, Paul Yong dalam masa 48 jam dan menyerahkannya semula kepada pengarah pendakwaan negeri buat kali ketiga.
Ketua Polis Perak Razarudin Hussain berkata polis telah mengemukakan kertas siasatan selepas laporan perubatan dan forensik dikeluarkan pada Isnin lalu.
"Kertas siasatan telah dipulangkan semula kepada pihak polis untuk melengkapkan sedikit lagi keterangan yang ada sebelum dihantar kembali kepada pengarah pendakwaan negeri," katanya yang dipetik oleh Bernama.
Razarudin berkata, pihaknya perlu menjalankan siasatan dengan teliti supaya memberi keadilan terhadap kedua-dua pihak yang terlibat.
“Sebab itu kami perlu melengkapkan sedikit lagi siasatan yang tidak boleh didedahkan sebelum dibawa kepada pengarah pendakwaan Negeri,” katanya.
Pada 8 Julai lalu, seorang wanita warga Indonesia berumur 23 tahun membuat laporan polis mendakwa dirogol oleh Paul Yong di rumah majikannya itu di Meru. Dia menafikan dakwaan itu.
Yong adalah Adun penggal kedua, exco penggal pertama dan juga bendahari DAP Perak.






