Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mufti nasihatkan jemaah haji fokus ibadat, hindari khurafat

Mufti Pahang, Abdul Rahman Osman menasihatkan jemaah haji supaya memberi fokus kepada ibadat haji serta memohon keampunan Allah SWT ketika berada di tanah suci Makkah dan tidak sesekali melakukan amalan khurafat.

Beliau bagaimanapun yakin bahawa hanya segelintir kecil jemaah haji yang melakukan amalan khurafat ketika berada di Makkah dan menyifatkannya sebagai kes terpencil.

"Saya ingat jemaah haji yang melakukan amalan khurafat di tanah suci ini kes terpencil, hanya segelintir kecil saja.

"Jangan buat sesuatu benda yang tidak masuk akal, sepatutnya lebihkan beribadat kepada Allah SWT.

"Kalau mahu rezeki lebih kena berniaga (bukannya tanam ibu duit)," katanya kepada Malaysiakini.

Abdul Rahman berkata demikian sebagai mengulas perbuatan khurafat dilakukan jemaah haji di Tanah Suci terutama ketika ibadat Masyair.

Perkara itu didedahkan Pengarah Operasi (Bimbingan) Lembaga Tabung Haji (TH), Tengku Aziz Raja Abdullah.

Memberikan contoh, Tengku Aziz berkata perbuatan khurafat seperti menanam wang untuk dijadikan ibu duit di Arafah bagi menambah rezeki adalah sia-sia kerana doa bagi memohon bertambah rezeki di Makkah terutama di hadapan Kaabah di Masjidil Haram dan ketika ibadat Masyair di Muzdalifah adalah mustajab.

"Orang kita buat (khurafat) nak kaya, bekerja nak naik pangkat, nelayan atau petani nak hasil banyak semua itu dia buat nak tambah rezeki, tetapi dalam hal ini kenapa buat khurafat sedangkan di sini kalau nak rezeki banyakkan doa dan ibadat seperti solat sunat duha kepada Allah.

"Masalah jemaah haji buat khurafat ini ada tetapi tidak ramai. Ada laporan (jemaah) ambil tali khemah, ambil kerak nasi, tanam duit, bawa duit pergi tawaf jadikan ibu duit ... semua itu buat kononnya nak kaya, kalau nak kaya doalah kepada Allah," katanya seperti dilapor media.

Dalam pada itu, Abdul Rahman berkata jika seseorang menginginkan sesuatu memadai bagi umat Islam berdoa kepada Allah SWT pada waktu mustajab ketika musim haji.

"Hari Arafah adalah hari yang paling besar, banyakkan berdoa untuk diri sendiri keluarga, agama, masyarakat dan negara.

"Tadah tangan berdoa pada hari Arafah mohon keredaan dan keampunan Allah SWT," katanya.

Lihat Komen
ADS