Sistem Permit Import (AP) kenderaan akan dihapuskan menjelang 31 Disember 2010 di bawah Dasar Automotif Nasional (NAP) yang diumumkan hari ini.

Sistem AP, yang memperuntukkan lesen bagi syarikat tempatan untuk mengimport kereta bagi pengedaran di negara ini, mejadi topik hangat di kalangan rakyat Malaysia berikutan dakwaan AP itu diberikan kepada syarikat kroni dan individu tertentu yang disukai.

Menurut Jabatan Perdana Menteri (JPM), buat sementara waktu, AP akan diperolehi berasaskan kepada sumbangan ekonomi.

Bernama melaporkan, AP terutamanya digunakan sebagai langkah pemantauan dan pengumpulan data.

Keutamaan akan diberikan kepada pemasang kenderaan yang mempunyai perjanjian untuk peningkatan besar dalam jumlah pengeluaran (dengan eksport yang besar) dalam model tertentu dan memerlukan AP untuk mengimport model yang lengkap dengan rangkaian produknya bagi pasaran Malaysia.

JPM berkata AP akan diperolehi untuk bilangan kenderaan yang terhad yang tidak dipasang di Malaysia bagi memastikan pilihan produk yang mencukupi bagi pengguna Malaysia.

Selanjutnya, dasar dan sokongan kerajaan akan ditumpukan ke arah peserta industri automotif yang memberikan sumbangan ekonomi yang mampan.

Pendorong utama bagi sumbangan seumpama itu ialah skala ekonomi, rantaian industri dan akvititi nilai ditambah yang berdaya saing.