Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

*Baca bahagian satu wawancara ini di sini

WAWANCARA | Selepas berhenti bekerja di Berita Harian, Wan Hamidi bertekad untuk menceburi penulisan kewartawanan dalam bahasa Inggeris meskipun penguasaannya terhadap bahasa itu masih kurang fasih ketika itu. Beliau kemudian menjadi wartawan kanan di The Star.

Wan Hamidi mengakui berasa kekok dan rendah diri dengan persekitaran kewartawanan bahasa Inggeris pada mulanya.

“Walaupun saya tidak yakin dengan penguasaan bahasa Inggeris sendiri, tetapi saya sudah dikenali wartawan kanan. Pengarang berita memberi kepercayaan kepada saya untuk menyunting karya wartawan muda.

“Pada kebiasaannya, wartawan muda yang bertutur bahasa Inggeris hebat. Tapi apabila saya tengok berita mereka, berterabur bahasa Inggeris.

“Dari situ saya ada sedikit keyakinan untuk boleh menyunting berita mereka dengan baik. Dan saya merasa tahap bahasa Inggeris saya tidak seteruk yang saya sangkakan,” katanya.

Selepas dua tahun di The Star, beliau berpindah ke The Sun yang baru ditubuhkan ketika itu dan menjadi pengarang politik.

Jelasnya, laporan pasukan yang diterajuinya untuk pilihan raya negeri Sarawak 1996 mendapat pujian. Susulan itu, pengarang The Star meminta beliau untuk kembali ke meja berita politik.

Dua tahun selepas itu, pada 1998, tercetus gerakan Refomasi selepas perdana menteri ketika itu Dr Mahathir Mohamad melucutkan jawatan timbalannya Anwar Ibrahim. Peristiwa bersejarah itu bukan saja mengubah dinamik politik negara, tapi juga dalam dunia kewartawanan sendiri.

Menurut Wan Hamidi, The Star sendiri seakan terpecah kepada dua kem. Meja politik dianggap sebagai pro-Mahathir manakala meja majalah Star 2 dilihat sebagai pro-Anwar.

“Majalah mingguan Ahad merasa semua wartawan politik adalah barua BN. Manakala kita merasa pasukan majalah Star 2 adalah pro-Anwar yang lemah lembut dan tidak memahami realiti dunia,” katanya.

Antara kenangan yang dapat diingat Wan Hamidi pada era itu ialah ketika beliau mengadakan perbincangan dengan wartawan Star 2 Eddin Khoo (yang kini dikenali sebagai penulis dan budayawan) berhubung isu Refomasi.

Kedua-dua mereka ketika itu berkongsi pandangan kritikal terhadap Mahathir dan Anwar.

“Kita jadi kawan rapat sampai sekarang,” kata Wan Hamidi merujuk kepada anak lelaki mendiang sejarawan Khoo Kay Khim.

Reka logo penumbuk PSM

Kata Wan Hamidi, beberapa bulan sebelum demonstrasi secara besar-besaran membantah pemecatan Anwar, penyokong haluan kiri mengemukakan permohonan untuk menubuhkan Parti Sosialis Malaysia (PSM) kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Negara.

Dalam pertemuan pertama jawatankuasa pro-tem, Wan Hamidi menghadiri mesyuarat tersebut dan menyertai rekaan logo parti “penumbuk”.

“Penumbuk ini saya dapat ilham daripada Socialist Workers Party British. Saya tak tahu seni reka bentuk dan saya minta kawan untuk membantu.

“Dia lukis dengan tangan sebab dia buat artwork, apabila kita tunjuk (logo), semua orang suka,” katanya.

Bagaimanapun, kata Wan Hamidi, beliau selepas itu berpendapat logo penumbuk itu memberi gambaran yang terlalu radikal di Malaysia dan berharap PSM dapat menggunakan logo lain.

“Saya rasa logo keras sangat dan cadang boleh tukar logo lain. Saya cuba lembutkan. Mereka cakap tak mahu tak mahu tukar,” katanya.

Selepas beberapa ketika bersama PSM, Wan Hamidi keluar parti kerana berpendapat hala tuju parti itu terlalu radikal. Kebetulan, pada 2001, dunia dikejutkan dengan kejadian serangan 11 September di AS, yang menjadikan Wan Hamidi mula kritikal terhadap pemikiran haluan kiri.

“Macam orang kiri tidak peduli kebangkitan politik agama dan hala kanan. Selama ini saya berhaluan kiri serta progresif, langsung saya tidak baca karya kanan malah The Wealth of Nation karya Adam Smith pun tidak pernah baca pun.

“Jadi saya ambil keputusan untuk baca buku ini. Walaupun orang akan menuduh ia buku berhaluan kanan tetapi Adam Smith bukan sayap kanan, dia penyokong pasaran bebas ekonomi,” katanya.

Kerja sambilan tolong pembangkang

Selepas itu, Wan Hamidi bekerja di Singapore Straits Time dan seterusnya mencari nafkah hidup sebagai penulis bebas, selain turut bertugas di pejabat Pesuruhjaya Tinggi Australia di Malaysia untuk beberapa tahun.

Beliau ketika itu masih terikat dengan media tempatan dan kembali ke New Straits Times pada 2006. Dua tahun sebelum itu, beliau sudah menyertai DAP.

Menceritakan semula tahun ketika beliau menyertai DAP, Wan Hamidi berkata BN pada masa itu di bawah pimpinan Abdullah Ahmad Badawi menang besar di kerusi parlimen dan parti pemerintah tersebut dilihat sebagai gergasi yang tidak akan kalah.

Bagi pemimpin barisan pembangkang, Presiden PAS Abdul Hadi Awang dan Setiausaha Agong DAP Kerk Kim Hock pada masa itu kalah di kawasan kubu kuat masing-masing malah PKR hanya dapat bertahan di satu kerusi parlimen Permatang Pauh.

Dalam kegelapan masa depan pembangkang, Wan Hamidi memutuskan untuk bersolidariti dengan pihak yang lemah serta meneruskan kehidupan di antara kerjaya kewartawanan dan parti politik.

"Saya kerja sepenuh masa sebagai wartawan. Kerja sambilan membantu parti pembangkang.

“Prinsip kehidupan saya adalah tidak menyokong pasukan yang sedang menang. Keputusan pilihan raya tahun 2004 adalah antara paling teruk untuk DAP. Saya menyertai DAP selepas itu.

“Sebenarnya, saya tidak aktif pun. Antara tahun 2006 dan 2007 saya menyertai aktiviti parti setiap malam tetapi saya tidak menyertai secara berterusan, hanya sekadar memberi nasihat dan pandangan,” katanya.

Namun, kerana pengurusan tempatnya bekerja ketika itu maklum dengan kegiatannya di luar waktu kerja, Wan Hamidi menerima nasib sama seperti wartawan dan editor seumpamanya - beliau sekadar diberi tugasan sebagai editor malam yang disifatkannya sebagai “separuh beku”.

Dalam suasana panas PRU 2008, pada satu mesyuarat harian editor, seorang editor kanan mengetengahkan nama Wan Hamidi untuk ke barisan depan membuat liputan kempen politik.

"Peluang ini saya jadikan kesempatan untuk membuka lembaran dan ruang berita parti pembangkang di media arus perdana dengan memberi laporan seimbang, malah terpaksa menggunakan muslihat dengan mengatakan bahawa ia arahan daripada ketua pengarang.

“Lepas tu ingatkan wartawan agar sesuatu berita politik, pastikan kalau wawancara orang BN, dapatkan juga pendapat pembangkang sebab kita nak nisbah 50:50 baru nampak adil,” katanya.

Wan Hamidi turut menggalakkan wartawan di bawahnya menulis berita pembangkang serta memberi ruang suara untuk anak muda parti pembangkang seperti Liew Chin Tong (kini merupakan timbalan menteri pertahanan) dan Amirudin Shari (kini merupakan menteri besar Selangor).

Bagi mengekang sentimen anti-BN yang kuat ketika itu, Umno mengecilkan ruang berita, kata Wan Hamidi.

Menurutnya, salah seorang pengarang kana juga memintanya beredar daripada liputan di Pulau Pinang dan bertapak di Perlis.

Wan Hamidi ketika itu bertegas untuk terus membuat liputan di Pulau Pinang, tetapi editor kanan menelefon beliau untuk balik ke Balai Berita Kuala Lumpur. Beliau terpaksa akur.

“Dalam kata lain, mereka tidak mahu saya berada di Pulau Pinang. Pada masa itu, saya sudah dapat gambaran bahawa BN akan kalah pada PRU 2008.

”Saya ada menulis satu rencana mengatakan Pulau Pinang akan kehilangan majoriti kerusi dua pertiga. Tetapi cerita ini tidak dipakai oleh editor,” katanya.

Keputusan PRU 2008 menjadi titik perubahan politik Malaysia. Buat pertama kali, BN kehilangan dua pertiga kerusi parlimen sejak tahun 1969 dan kerajaan Pulau Pinang, Selangor, Perak, Kedah dan Kelantan.

Dengan perkembangan terbaru itu, Wan Hamidi mencadangkan kepada ketua pengarang kumpulan untuk membuka ruang laporan tetapi ketua pengarang merasa pemilik akhbar, Umno tidak akan bersetuju dengan cadangan tersebut.

Dalam keadaan terdesak, Wan Hamidi memilih keluar daripada bidang akhbar dan menyertai The Malaysian Insider. Tetapi kesihatan tidak membenarkan beliau aktif untuk bekerja di lapangan dan seterusnya membawa beliau ke Ibu Pejabat DAP sejak tahun 2009 hingga kini.

Wan Hamidi dengan nada gurau berkata walaupun berasa jemu dan letih, tetapi “terpaksa” melibatkan diri dalam sidang redaksi.

Kata Wan Hamidi, walaupun DAP dimomokkan sebagai hantu di kalangan masyarakat, beliau tertarik dengan ideologi demokrasi sosial yang diketengahkan DAP.

“Saya pilih DAP kerana demokrasi sosial, ekonomi campuran lebih sesuai bukan pasaran bebas terlampau dan bukan rancangan pusat (central planning).

“Kalau ada orang ingat DAP adalah sebagai alat untuk perkauman, harap tolong lihat cermin dan kaji balik. Kalau kita selalunya tersekat dalam masalah perkauman, segala masalah susah selesaikan.

“Saya tidak kata tolak perkauman masalah semua akan selesai tetapi benteng tersebut kena pecah. Demokrasi sosial adalah jalanan tengah. Ada orang kata ideologi tak penting, yang penting pragmatik.

“Tetapi saya tak setujui kerana kita mesti ada nilai-nilai asas supaya kita tak terdedah kepada gila kuasa selepas memerintah," katanya.

Lihat Komen
ADS