GLOBAL | Lapangan Terbang Hong Kong dibuka semula pada hari ini tetapi pihak pengurusannya memberi amaran pergerakan penerbangan akan terjejas.

Ini selepas China mengatakan protes anti-kerajaan yang meluas menyebabkan penerbangan terpaksa dihentikan semalam.

Notis itu diterbitkan di aplikasi mudah alih Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong - salah satu lapangan terbang paling sibuk di dunia - pada jam 6 pagi.

Lapangan terbang itu menyalahkan penunjuk perasaan kerana menyebabkan penerbangan terpaksa dihentikan pada Isnin.

"Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong akan melaksanakan penjadualan penerbangan hari ini dengan pergerakan penerbangan dijangka terjejas," kata kenyataan itu, lapor Reuters.

Sementara itu, penunjuk perasaan yang menduduki dewan ketibaan selama lima hari yang lalu mulai bersurai.

Kebanyakan mereka meninggalkan kawasan itu sejurus selepas tengah malam, dengan kira-kira 50 penunjuk perasaan masih berada di situ pada pagi Selasa.

Seorang wartawan Reuters menyaksikan lebih 100 penumpang beratur di kaunter tiket Cathay Pacific awal pagi ini.