Lebih 7,000 ekor unggas atau kira-kira 90 peratus daripada bilangan unggas yang terdapat di kawasan radius 1 kilometer dari Kompleks Pertanian Titi Gantung, Bota dimusnahkan dalam operasi pemusnahan bagi membasmi wabak selesema burung sejak semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pelancongan negeri Datuk Mohd Radzi Manan berkata baki unggas di 12 kampung dan dua taman perumahan dalam radius itu dijangka dimusnahkan malam ini.

Operasi di kawasan itu dan di Changkat Legong dekat Gopeng dijalankan selepas kedua-dua kawasan berkenaan disahkan dijangkiti virus H5N1 pada Rabu lalu.

Menurut laporan Bernama, operasi pemusnahan di Changkat Legong membabitkan kira-kira 2,000 ekor ayam kampung yang diternak di kampung berkenaan selesai Rabu malam.

Selain ayam kampung, lebih 3,000 ayam daging, itik, puyuh, angsa, ayam belanda dan ayam serama yang diternak di Institut Latihan Pertanian Titi Gantung turut dimusnahkan.

Dua kawasan itu antara tiga kes wabak selesema burung yang dikesan Rabu selepas dua kes lain dikesan di Changkat Tualang dan Taman Ecopark Bukit Merah Laketown Resort dekat Taiping minggu lepas.

Satu lagi kes yang disahkan Rabu membabitkan bangkai burung gembala kerbau yang dijumpai di Taman Panorama, Ipoh tetapi kes itu tidak membabitkan operasi pemusnahan dan hanya pensampelan dijalankan di kawasan radius 1 kilometer.

Kampung Changkat Legong terletak kira-kira 2.5 kilometer dari Changkat Tualang.

Mohd Radzi berkata JPH menjalankan pensampelan di seluruh negeri manakala majlis penerangan turut dijalankan dengan kerjasama Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) mengenai wabak berkenaan.

Dalam operasi di Changkat Tualang dan Bukit Merah, kira-kira 42,000 unggas termasuk lebih 30,000 itik, 10,000 ayam daging dan ayam kampung serta unggas lain termasuk 239 burung eksotik di Taman Ecopark dimusnahkan.