Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Dr M tak perlu sindir pemimpin berbeza pendapat - Adun Sg Pelek

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad tidak perlu membalas pandangan pemimpin politik lain yang berbeza pendapat daripadanya dengan sinis, kata Adun Sungai Pelek Ronnie Liu.

Pemimpin DAP itu mengulas jawapan sinis Mahathir terhadap kenyataannya yang mengatakan tindakan menghalau syarikat perlombongan nadir bumi Lynas Corp dari Malaysia tidak akan menakutkan pelabur seperti yang dikatakan oleh Mahathir.

Kata Liu lagi, Mahathir sewajarnya membalas kenyataannya mengenai Lynas itu dengan fakta.

“Sebelum ini, dia kata sebagai pemimpin politik, dia sentiasa menerima teguran, menerima kritikan.

“Sebagai pemimpin politik, kena bersikap macam itu. Jadi kita pun beri teguran, beri pandangan kepada dia itu biasalah, tak perlu membalas dengan cara sinis, balas dengan cara lebih baik.

“Kamu perlu membalas dengan fakta, balas dengan cara yang sesuai berdasarkan fakta. Lagipun kamu perdana menteri kan? Lagipun kamu berkuasa, kamu kena menerima teguran,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Semalam, Mahathir menyelar mereka yang mengkritik keputusannya berhubung beberapa isu seperti Lynas, pelaksanaan tulisan Jawi dan pendakwah Zakir Naik.

Perdana menteri ketika ditanya mengenai gesaan Liu supaya kerajaan menutup Lynas, menjawab secara menyindir, berkata pada masa akan datang beliau akan berunding dengan pemimpin DAP itu sebelum membuat keputusan.

Liu yang terkejut dengan jawapan sinis ahli Parlimen Langkawi itu juga berkata beliau tidak memaksa Mahathir menerima pandangannya dan begitu juga sebaliknya.

Jelasnya, beliau tidak sesuka hati mengeluarkan kenyataan menentang Lynas jika tidak mempunyai fakta, bahkan kata Liu, beliau telah menentang syarikat itu sebelum ia berada di Malaysia lagi.

“Kita ada alasan (halau Lynas). Kamu perdana menteri, kamu perlu dengar kami baik-baik apa yang kami ingin sampaikan. Tak perlu (jawab dengan) sinis,” katanya yang yakin bahawa Lynas tidak mematuhi syarat yang dijanjikan berekenaan pembuangan sisa radioaktifnya.

Jangan lupa janji  

Ahli Parlimen Klang Charles Santiago yang turut menerima tempias daripada jawapan sinis daripada pemimpin 94 tahun itu, bagaimanapun berkata beliau menerima baik pandangan Mahathir tetapi mengingatkan supaya tidak melupakan janji kepada rakyat dalam manifesto mereka.

“Rakyat tunggu dan tengok apakah masa depan, masa panjang PH yang telah mengatakan kita akan membela rakyat biasa, rakyat (golongan) B40, negara akan wujudkan pekerjaan yang banyak, gaji yang tinggi. Itu janji yang kita buat dalam pilihan raya,” katanya kepada Malaysiakini.

Semalam, Mahathir pada satu majlis yang sama di Langkawi turut ditanya mengenai kenyataan Santiago yang menyatakan kebimbangan bahawa kekerapan perdana menteri membuat keputusan sepihak semakin membimbangkan.

Pemimpin DAP itu memberikan contoh isu pelaksanaan pengenalan tulisan Jawi dalam buku teks bahasa Melayu di sekolah vernakular Cina dan Tamil serta desakan supaya pendakwah tersohor Islam, Zakir Naik diusir dari negara ini.

Bagaimanapun, Mahathir secara sinis ‘mengiktiraf’ Santiago yang menurutnya mempunyai kedudukan yang setaraf dengannya dan akan meminta persetujuan Santiago sebelum membuat keputusan.

Mengulas lanjut mengenai jawapan sinis pengerusi PH itu, Santiago turut membangkitkan ucapan Zakir di Kelantan baru-baru ini yang berkata bahawa penganut Hindu di Malaysia lebih setia dengan Perdana Menteri India Narendra Modi berbanding berbanding perdana menteri sendiri, Mahathir.

“Jadi, soalan saya kepada Dr Mahathir, apa yang akan anda lakukan terhadap beliau?

“Dan juga kerajaan Kelantan, tak ada jawapan daripada mereka? Mereka sokong dengan apa yang dicakapkan oleh Zakir?" Soalnya.

Santiago berkata sekiranya Zakir sekadar hadri memberikan ucapan agama itu tidak mendatangkan masalah tetapi kenyataan pendakwah kontroversi itu berbaur politik dan boleh menjejaskan hubungan antara kaum di negara ini.

“Bila anda menggunakan platform agama untuk burukkan satu-satu kaum itu atau mana-mana golongan, maka ini menjadi masalah dan memecahbelahkan rakyat Malaysia,” katanya. 

Lihat Komen
ADS