BERITA Malaysiakini

Jaga mulut dan buat kerja, kata Santiago pada Maszlee

News  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Anggota Parlimen Klang Charles Santiago melancarkan serangan baru dalam pertikaian sama ada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad membuat keputusan sepihak mengenai isu-isu semasa sensitif.

Menurut laporan Free Malaysia Today, Santiago, memberitahu Maszlee Malik selepas menteri pendidikan itu membela pengerusi Bersatu yang “mengaitkan Mahathir dengan keputusan sepihak adalah tidak berasas dan bohong secara terang-terangan." 

"Memanggil saya pembohong adalah tuduhan yang serius. Maszlee sepatutnya menjaga mulut itu, dan apa yang lebih penting, fokus dengan tugasannya.

“Beliau perlu buktikan yang saya salah kerana sikap mempertahankan diri adalah pilihan yang lebih mudah," katanya.

Mempertahankan haknya untuk bersuara, Santiago memberitahu Maszlee: “Kita adalah Malaysia baru yang diundi oleh rakyat atas dasar pembaharuan dan inklusif. Oleh itu, penting agar suara rakyat dilibatkan dalam keputusan membabitkan polisi."

Bertegas dengan kata-katanya, Santiago turut mengkritik Maszlee mengenai cara anggota parlimen Simpang Renggam itu mengendalikan portfolionya.

"Sistem pendidikan berada dalam keadaan tunggang-langgang dan banyak kerja perlu dilakukan supaya ia kembali ke landasan yang sepatutnya. Sudah 13 bulan ... dan tiba masanya Maszlee memulakan kerja," katanya.

Pembelaan Maszlee terhadap Mahathir susulan daripada Santiago yang mengkritik proses membuat keputusan PH dalam isu pengenalan pembelajaran khat dalam sukatan pelajaran Bahasa Malaysia untuk pelajar-pelajar Tahun Empat. 

“Beliau (Mahathir) membuat keputusan walaupun (dirinya) datang dari parti minoriti (dalam PH),” kata Santiago, dengan mengatakan bahawa isu-isu kontroversi dalam kerajaan yang melibatkan kaum dan agama perlu diputuskan oleh Majlis Presiden PH.

Santiago turut memetik pusingan-U berhubung ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (Icerd) dan Statut Rom, serta keputusan mengenai syarikat perlombongan nadir bumi Lynas Corp di Pahang, dan kehadiran pendakwah diburu kerajaan India, Zakir Naik, di Malaysia.

Mahathir bagaimanapun, tidak menerima kritikan daripada Santiago dan seorang lagi pemimpin DAP yang juga Adun Sungai Pelek, Ronnie Liu dengan baik.

Dengan nada yang sinis, Mahathir membalas: “Pada masa depan apabila saya nak buat keputusan saya akan tanya boleh atau tidak Santiago bersetuju. Kalau dia tak bersetuju saya tak buatlah, mesti dapatkan pandangan dia kerana dia setaraf dengan saya.” 

Pada masa sama, Santiago turut meminta Maszlee menyatakan sama ada kabinet telah meluluskan Zakir menetap di negara ini, dan kalau ya, bilakah keputusan itu dibuat.