BERITA Malaysiakini

‘Serangan’ Mahathir jadikan Jawi isu perkauman, kata DAP Melaka

News  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

DAP Melaka hari ini menuntut Dr Mahathir Mohamad supaya menarik balik dakwaan yang melabel Dong Zong sebagai “rasis” dan berkata serangan perdana menteri terhadap mereka yang membantah pelaksanaan pengenalan tulisan Jawi di sekolah Cina dan Tamil telah menjadi isu perkauman.

Ini susulan kritikan Mahathir terhadap badan pertubuhan pendidikan Cina, Dong Zong selepas mereka mendakwa langkah kerajaan memperkenalkan tulisan Jawi dalam buku teks Tahun 4 bahasa Melayu adalah sebagai satu bentuk "Islamisasi".

"Kenyataan Mahathir bahawa Dong Zong adalah kumpulan rasis berhubung isu khat telah mencemarkan topik pelajaran dengan unsur-unsur perkauman.

"Ini mengecewakan orang ramai dan kami tidak bersetuju dengan kenyataan itu," kata mereka dalam satu kenyataan berbahasa Cina hari ini.

Kenyataan itu ditandatangani oleh seorang ahli Parlimen dan empat Adun DAP Melaka iaitu Khoo Poay Tiong (Kota Melaka), Wong Fort Pin (Bemban), Low Chee Leong (Kota Laksamana), Seah Shoo Chin (Kesidang) dan Kerk Chee Yee (Ayer Keroh).

Tiga wakil rakyat DAP Melaka yang tidak menandatangani kenyataan itu adalah Tey Kok Kiew (Bandar Hilir), G Saminathan (Gadek) dan Norhizam Hassan Baktee (Pengkalan Batu).

Lima wakil rakyat itu berkata mereka berharap bahawa di Malaysia baru, segala pertelingkahan boleh dibincangkan secara rasional.

Mereka berkata peranan Dong Zong untuk mempertahankan pendidikan Cina dan kedudukannya tidak ada kaitan dengan perkauman.