Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Jawi: Sasterawan negara harap k'jaan tak tunduk pada tekanan
Diterbitkan:  Aug 14, 2019 4:43 PM
Dikemaskini: 8:43 AM

Empat sasterawan negara berharap Kementerian Pendidikan tidak akan tunduk kepada tekanan mana-mana pihak dan tetap meneruskan pengenalan tulisan Jawi di semua sekolah.

“Kami juga berharap (pertubuhan pendidikan Cina) Dong Zong membatalkan petisyen mereka, dan lebih berhati-hati membuat kenyataan," kata mereka dalam kenyataan bersama hari ini.

Kenyataan itu dikeluarkan oleh Anwar Ridhwan, Baharuddin Zainal, Muhammad Haji Salleh dan Zurinah Hassan.

Pada 10 Ogos lalu, Dong Zong melancarkan petisyen bantahan terhadap pembelajaran tulisan Jawi di sekolah vernakular.

Ia di sebalik kompromi oleh Kementerian Pendidikan yang antaranya menjadikannya sebagai pilihan dengan guru diberi kuasa menetapkan kaedah pengajaran, serta pengurangan halaman daripada enam kepada tiga muka surat.

Dua hari kemudian, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad melabelkan Dong Zong sebagai "rasis" kerana mendakwa langkah kerajaan memperkenalkan tulisan Jawi di sekolah sebagai satu bentuk "Islamisasi".

Dong Zong bagaimanapun berkata bukan pihaknya saja yang membantah pengenalan tulisan Jawi, tetapi juga pertubuhan bukan Islam yang lain dan sejumlah tokoh Melayu seperti bekas menteri Rafidah Aziz.

Dalam pada itu, empat sasterawan negara itu juga menyatakan harapan agar masyarakat mengelakkan isu sensitif yang boleh mencetuskan pertelingkahan antara kaum.

"Mengapa masyarakat kita menjadi amat sensitif serta memberi tumpuan kepada isu tulisan jawi yang boleh dianggap hanya sebagai ranting dalam pendidikan?

“Pada hal sensitiviti kita seharusnya ditumpukan kepada isu pokok dalam pendidikan, antaranya untuk membijaksanakan para pelajar kita supaya menghormati orang lain yang mempunyai perbezaan agama dan budaya,” kata mereka.

Lihat Komen
ADS