Malaysiakini BERITA

K'jaan diarah bayar ganti rugi tambahan RM500k kepada The Edge

Hidir Reduan Abdul Rashid  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini memerintahkan Menteri Dalam Negeri dan setiausaha kementerian itu membayar ganti rugi teladan sebanyak RM500,000 sebagai tambahan terhadap ganti rugi berjumlah RM11.2 juta yang perlu dibayar kepada The Edge Commucations Sdn Bhd.

Ganti rugi teladan itu diperintah dibayar berikutan penggantungan selama tiga bulan terhadap The Edge Weekly dan The Edge Financial Daily oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada tahun 2015.

Perintah penggantungan itu dikeluarkan semasa pentadbiran Perdana Menteri Najib Razak dan Ahmad Zahid Hamidi yang menerajui KDN berkaitan dua laporan akhbar itu mengenai isu 1MDB.

Hakim Nordin Hassan memutuskan bahawa jumlah wang sebanyak RM500,000 itu merupakan amaun yang munasabah untuk ganti rugi teladan yang harus dibayar kedua-dua responden.

"Rayuan pemohon (The Edge Communications) untuk RM500,000 adalah jumlah yang sesuai untuk ganti rugi teladan.

"Saya berpendapat bahawa ganti rugi teruk dan ganti rugi perlembagaan tidak sesuai dalam kes ini. Rayuan responden ditolak dengan kos RM10,000.

"Rayuan perayu dibenarkan sebahagiannya," kata Nordin, sambil menambah bahawa bahagian rayuan yang ditolak itu dianugerahkan kos RM5,000.

The Edge Communications merayu keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 17 Disember tahun lepas, yang memberikan pampasan terhadap akhbar perniagaan berkenaan sebanyak RM11.2 juta.

Akhbar perniagaan itu merayu ganti rugi tambahan melalui ganti rugi teladan, ganti rugi teruk dan perlembagaan.

Pada 17 Disember, Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Norazlin Othman mengarahkan Menteri Dalam Negeri dan setiausaha kementerian itu membayar ganti rugi RM11.2 juta kepada Edge Communications kerana kerugian dialami akibat penggantungan The Edge Malaysia dan The Edge Financial Daily .

Norazline juga mengarahkan kedua-dua responden membayar faedah sebanyak 4 peratus bermula 27 Julai 2015, sehingga kes selesai sepenuhnya.

Kedua-dua akhbar tersebut digantung selama tiga bulan dari 27 Julai 2015.

[Baca berita penuh]