Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

ULASAN | Saya memandang serius mengenai artikel yang telah ditulis oleh Encik Koon Yew Yin bertajuk ‘My Proposal For The Reduction And Improvement Of Our Civil Service’ yang dimuat naik di blog beliau pada 12 Ogos 2019 dan telah dipetik oleh portal berita Air Times pada 13 Ogos 2019 dengan menggunakan tajuk ‘Askar hanya makan tidur, tak pernah menembak, baik kerja ladang Felda.’

Dalam artikel tersebut, Encik Koon Yew Yin telah menyuarakan pandangan berkaitan saiz penjawat awam yang besar dan mengakibatkan perbelanjaan pengurusan kerajaan meningkat pada setiap tahun, perbelanjaan pencen kakitangan awam dan komposisi pengisian kakitangan awam yang tidak seimbang berdasarkan kaum.

Selain itu penulis juga telah menyentuh berkenaan peranan yang dimainkan oleh pasukan keselamatan negara. Berdasarkan tulisan berkenaan, saya dapati terdapat beberapa fakta yang tidak tepat dan boleh menyebabkan berlakunya kekeliruan dan salah faham.

Berkaitan isu saiz Perkhidmatan Awam yang terlalu besar iaitu sebanyak 1.6 juta kakitangan awam dan perbandingan dibuat berdasarkan ratio di negara seperti Singapura, Indonesia, Korea, China, Japan, Rusia dan Britain, perlu difahami bahawa dalam definisi dan perkiraan kakitangan awam di negara-negara ini, ada kalanya mereka tidak mengambil kira profesion pendidikan, pasukan keselamatan dan tenaga kerja kesihatan. 

Berbanding di Malaysia, saiz perkhidmatan awam turut mengambil kira ketiga-tiga sektor ini yang memiliki saiz kakitangan yang besar. Sekiranya ketiga- tiga sektor ini tidak diambil kira ia hanya melibatkan sejumlah 616,718 kakitangan (setakat Mei 2018) ataupun nisbah 1:51 kepada rakyat Malaysia. Berdasarkan ratio ini, saiz perkhidmatan awam kita masih ideal dan tidaklah terlalu besar berbanding negara-negara yang lain.

Walaupun begitu kerajaan mengambil maklum mengenai perbelanjaan pengurusan terutama berkaitan gaji kakitangan awam yang meningkat saban tahun. Kerajaan telah mengambil inisiatif untuk mengecilkan saiz ini secara berperingkat di mana daripada 1.7 juta perjawatan yang wujud, hanya 1.6 juta sahaja yang diisi.

Selain itu, kerajaan juga telah mengambil pendekatan dasar penswastaan di mana kerajaan akan mengurangkan beban kewangan, meninggikan kecekapan dan penghasilan kerja, menggalakkan pertumbuhan ekonomi dan pembahagian sumber yang lebih cekap.

Kerajaan juga dalam usaha untuk mengoptimumkan produktiviti penyampaian perkhidmatan dengan penggunaan teknologi terkini. Langkah-langkah ini dijangka akan dapat menjimatkan perbelanjaan emolumen sehingga RM1.9 billion serta penjimatan sebanyak RM490 juta bagi bayaran pencen kakitangan awam.

Bagi isu berkaitan ketidakseimbangan kaum dalam pelantikan ke sektor awam, harus difahami bahawa pelantikan ke dalam perrkhidmatan awam perlu melalui proses permohonan, temu duga dan pelantikan.

Kesemua proses ini dilakukan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia (SPA) dan Pihak Berkuasa Melantik lain yang melaksanakan urusan pelantikan seperti Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP), Suruhanjaya Pasukan Polis, Majlis Angkatan Tentera (MAT), Badan Berkanun Persekutuan, Pihak Berkuasa Tempatan, dan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri.

Kesemua proses pelantikan adalah berdasarkan merit dan tidak sama sekali berdasarkan kaum atau bangsa. Suruhanjaya Perkhidmatan Awam dan Pihak Berkuasa Melantik yang lain sentiasa membuka peluang kepada semua kaum untuk memohon.

Sambutan kurang dari bukan Bumiputera

Cuma berdasarkan kepada jumlah permohonan, sambutan dari kalangan bukan bumiputera agak kurang memberangsangkan berbanding kumpulan bumiputera. Namun usaha akan terus dijalankan agar dapat menarik minat mereka untuk menyertai perkhidmatan awam. Urusan pelantikan ini akan terus dijalankan dengan telus dan adil.

Berdasarkan kepada keseluruhan tulisan beliau, persepsi mengenai pembaziran yang berlaku hasil daripada jumlah penjawat awam yang tinggi adalah tidak betul. 

Pihak kerajaan giat untuk menambahbaik mutu perkhidmatan penjawat awam dengan pelbagai dasar dan inisiatif.

Antaranya termasuklah melahirkan kepimpinan yang cekap dan holistik, mewujudkan kerajaan digital, perkhidmatan berasaskan insan, kejat, inovatif dan bersifat terbuka serta paling penting mewujudkan perkhidmatan awam yang profesional dan bebas rasuah.

Pihak kerajaan sentiasa mendukung penuh peranan penjawat awam untuk melaksanakan dasar-dasar kerajaan. Peralihan kuasa yang berlaku dengan aman dan teratur selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 juga hasil profesionalisme kakitangan awam.

Oleh itu sebarang tanggapan negatif terhadap perkhidmatan awam harus dinilai semula dengan lebih adil dan bertanggungjawab.


MD FARID MD RAFIK ialah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Perpaduan Negara dan Kesejahteraan Sosial) merangkap anggota parlimen Tanjung Piai.

Artikel ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS