Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pengenalan Jawi di SJK kekal tetapi perlu dipersetujui PIBG
Diterbitkan:  Aug 14, 2019 8:18 PM
Dikemaskini: 12:40 PM

Kerajaan memutuskan pengenalan tulisan Jawi bagi murid Darjah 4 di semua sekolah akan diteruskan.

Bagaimanapun bagi sekolah vernakular, pengajarannya hanya akan dilaksanakan jika ia dipersetujui Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG), ibu bapa dan murid.

Perkara itu diputuskan mesyuarat kabinet hari ini dan diumumkan Kementerian Pendidikan dalam satu kenyataan.

"Dalam perbincangan terkini, jemaah menteri membuat keputusan mengekalkan keputusan minggu lalu agar pengenalan tulisan Jawi ini diteruskan, tetapi dilaksanakan hanya jika

dipersetujui oleh PIBG serta ibu bapa dan murid sekolah jenis kebangsaan.

"(Pembelajaran di) Sekolah kebangsaan akan teruskan seperti biasa," kata Kementerian Pendidikan.

Keputusan lain seperti pengenalan tulisan Jawi dimuatkan sebanyak tiga halaman dalam buku teks dan ia tidak akan dinilai dalam peperiksaan juga dikekalkan, kata kementerian itu lagi.

Pada 3 Ogos lalu, Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik mengumumkan pelaksanaan pengenalan Jawi akan dibuat secara pilihan dengan guru diberi kuasa menetapkan kaedah pengajaran, serta pengurangan halaman daripada enam kepada tiga muka surat.

Bagaimanapun ia tetap dibantah sesetengah pihak, antaranya Persekutuan Persatuan-persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) yang melancarkan petisyen untuk menggesa ia dibatalkan.

Dalam pada itu, Kementerian Pendidikan berkata pembelajaran itu dikekalkan dengan nama pengenalan tulisan Jawi dan bukan khat, dan diperkenalkan secara pilihan pada peringkat asas untuk Darjah 4 mulai 2020, Darjah 5 pada 2021 dan Darjah 6 pada tahun 2022 di sekolah jenis kebangsaan.

"Kementerian berharap melalui keputusan yang dibuat oleh mesyuarat jemaah menteri ini, isu pengenalan tulisan Jawi di sekolah jenis kebangsaan tidak lagi dibangkitkan secara tidak tepat sehingga menimbulkan kekeliruan ramai.

"Kementerian juga dari semasa ke semasa akan terus mengadakan sesi libat urus dengan semua pihak demi kebaikan dan manfaat sistem pendidikan negara," kata Kementerian Pendidikan lagi.

Lihat Komen
ADS