Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Penentang Jawi umpama diberi betis mahu telan kepala - Hadi
Diterbitkan:  Aug 14, 2019 8:48 PM
Dikemaskini: 12:58 PM

Presiden PAS Abdul Hadi Awang menyifatkan sikap sesetengah pihak yang menolak pembelajaran tulisan Jawi di sekolah vernakular umpama 'Diberi betis hendakkan paha'.

Tanpa menamakan sesiapa, Hadi berkata pihak berkenaan hendak membunuh bahasa kebangsaan yang telah menjadi jiwa bangsa di negara ini dengan teori “Malaysian Malaysia”.

"Bandingannya laksana diberi betis mahukan paha, atau perangai buaya yang ganas menangkap betis mahu menelan mangsanya sampai kepala," katanya dalam hantaran Facebook hari ini.

Anggota Parlimen Marang itu berkata, walaupun Bahasa Melayu dinobatkan sebagai bahasa kebangsaan, namun tulisan Jawi pernah 'dilumpuhkan sehingga bernyawa ikan'.

"Maka usaha untuk mengembalikan Bahasa Melayu sendiri adalah hak yang wajib dilakukan. Khususnya kita menyaksikan kebangkitan Jepun dengan bahasa dan tulisannya sendiri, begitu juga China, Korea dan kini Iran dengan Bahasa Parsi yang berhuruf Arab (Parsi seperti tulisan Jawi juga).

"Usaha untuk mengembalikan penyebaran bahasa kebangsaan ini tidaklah mengharamkan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil, atau menghalang pembelajaran bahasa lain, seperti yang dilakukan di negara lain khususnya negara jiran," ujar lagi.

'Kesabaran ada batasnya'

Beliau turut menyifatkan golongan yang menentang usaha tersebut tidak harus dibiarkan terus berleluasa kerana ia boleh menjadi api yang 'kecilnya menjadi kawan dan besarnya menjadi lawan yang sangat berbahaya'.

"Adakah kita masih tidak peka dan sedar dengan mereka yang masih tidak kenyang dengan penguasaan ekonomi secara rakus sehingga majoriti rakyat Melayu dan Bumiputera menganggur, papa kedana, tekanan kos sara hidup dan hidup menumpang mereka yang tidak mengenang budi itu.

"Kita juga menghadapi permainan ekonomi yang sentiasa tidak adil dan bertimbang rasa, kerana konsepnya siapa yang cepat menipu dan paling mahal rasuahnya maka dia dapat.

"Ketahuilah bahawa kesabaran itu ada batasnya. Apabila sabarnya tidak berbatas, maka hilang jati diri dan tidak menjadi manusia yang dimuliakan dengan akalnya," tegasnya lagi.

Rancangan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melaksanakan pembelajaran Jawi dalam buku teks Bahasa Malaysia tahun empat di sekolah vernakular ditentang hebat oleh masyarakat bukan Melayu.

Pertubuhan pendidikan Cina, Dong Zong sebelum ini mendakwa pengenalan Jawi di SRJK sebagai satu langkah 'Islamisasi' walaupun dinafikan KPM.

KPM kemudian mengumumkan pembelajaran tersebut dilaksanakan secara pilihan di sekolah vernakular.

Terbaru, kerajaan memutuskan pengajaran Jawi hanya akan dilaksanakan jika mendapat persetujuan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), ibu bapa dan murid. 

Lihat Komen
ADS