Kerajaan telah berunding dengan Proton untuk mengambilkira kemampuan syarikat kereta nasional itu bersaing di peringkat antarabangsa sebelulm merangka Dasar Otomatif Nasional (NAP).

Oleh itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak percaya NAP tidak akan menjejaskan Proton tetapi akan membolehkannya bersaing di peringkat antarabangsa, khususnya di rantau Asia Tenggara.

Katanya, walaupun kereta luar yang masuk ke pasaran tempatan lebih murah ia tidak akan menjejaskan kereta tempatan khususnya Proton.

"NAP adalah rancangan jangka panjang kerajaan untuk kereta nasional setelah mengambilkira pelbagai aspek dalam bidang itu."

"Yang pasti dasar itu menjadikan kereta nasional lebih berdaya saing di peringkat antarabangsa khususnya bagi pasaran serantau,"katanya kepada wartawan selepas merasmikan konvesyen jualan langsung di ibu negara hari ini.

Najib berkata, selepas pengenalan NAP ini Proton seharusnya menjadi lebih berdaya saing dengan kereta lain.

Katanya, NAP juga selaras dengan dasar Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) yang menjadikan pasaran domestik sebahagian daripada pasaran global.

Jualan langsung

Sementara itu, dalam ucapan perasmian, Mohd Najib berkata, kerajaan akan meminda Akta Jualan Langsung bagi membendung penyelewengan yang berlaku dalam industri itu.

"Industri ini terdedah kepada penipuan dan penyelewengan seperti pengenalan skim Pak Man Telo, Labu Peram dan sistem piramid serta pelbagai skim yang diperkenalkan dalam internet.

"Pindaan ini adalah bagi melindungi industri jualan langsung negara yang bernilai kira-kira RM6 bilion dan memberi pendapatan kepada empat juta penduduk tempatan," katanya lagi.

Najib juga menggesa pemain industri jualan langsung meningkatkan usaha memasuki pasaran antarabangsa yang terbuka luas.

Beliau berkata, jualan langsung yang membabit produk halal perlu dilakukan kerana ia mempunyai pasaran yang cukup luas.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shafie Apdal pula berkata, pihaknya telah meluluskan 1,500 lesen kepada syarikat jualan langsung sejak 30 tahun lalu.

Katanya, kementerian mengawal rapi syarikat terbabit bagi memastikan pemiliknya tidak melakukan penyelewengan seperti mengenakan harga terlalu tinggi.