Terjemahan Sekiranya pengundian dibuat di kalangan Ahli Parlimen (MP) Umno mengenai cadangan penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salahlaku Polis (IPCMC), Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pastinya tidak akan mendapat sokongan majoriti.

Inilah pandangan Ketua Pembangkang Lim Kit Siang kerana pengurusan tertinggi pasukan polis nampaknya telah berjaya melobi MP Umno supaya menentang cadangan kontroversi untuk menubuhkan badan pemantau polis tersebut.

"Malah, saya sendiri tertanya-tanya sama ada (Datuk Seri) Abdullah akan mendapat sokongan majoriti daripada menteri Umno dalam kabinet untuk menubuhkan IPCMC," kata Lim dalam satu kenyataan semalam.

Dua bulan lalu, Abdullah berikrar bahawa kerajaan akan menubuhkan IPCMC, yang merupakan teras perakuan yang dibuat oleh Suruhanjaya Diraja Polis.

Suruhanjaya tersebut, yang ditubuhkan sejurus selepas Abdullah menjadi Perdana Menteri pada 2004, mengemukakan laporannya tahun lalu yang mengandungi 125 perakuan untuk menambahbaikan pasukan polis.

IPCMC boleh dianggap sebagai badan pemantau yang terkuat pernah dicadangkan penubuhannya di Malaysia.

Tidak seperti agensi yang sedia ada, IPCMC bertanggungjawab terus kepada Parlimen bagi memastikan hasil siasatannya diumumkan kepada awam.

Bagaimanapun, Abdullah nampaknya 'semakin kehilangan' sokongan daripada ahli parlimen dari partinya sendiri yang selepas menemui pengurusan tertinggi polis telah mengambil keputusan menolak cadangan penubuhan IPCMC.

MP sokong polis

Lim berkata, Isnin lalu pada hari pertama sesi sidang Parlimen sekarang Ketua Polis Negara Tan Sri Mohd Bakri Omar telah memberi taklimat kepada ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dan berjaya mendapatkan sokongan mereka untuk menentang penubuhan IPCMC.

Beliau berkata, tindakan pihak polis dan ahli Parlimen BN menolak pendirian pucuk pimpinan berhubung isu penting ini "tidak pernah berlaku sebelum ini".

Di Dewan Rakyat semalam, Wan Junaidi Tuanku Jaafar (Umno-Santubong) dan Razali Ibrahim (Umno-Muar) antara ahli Parlimen yang lantang menolak penubuhan IPCMC.

Manakala pihak pembangkang, yang diketuai oleh Lim, pula mempertahankan penubuhan IPCMC.

"Saya bertanya kepada Wan Junaidi mengapa MP BN, terutama dari Umno, mengambil pendirian terbuka tidak menyokong sokongan 'pada dasarnya" Perdana Menteri terhadap penubuhan IPCMC...jawapannya, beliau tidak pernah mendengar Perdana Menteri menyuarakan sokongannya terhadap IPCMC," kata Lim. Berita asal

"