Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Polis buka kertas siasatan isu Dong Zong, Zakir Naik

Enam laporan polis berhubung isu Gabungan Jawatankuasa Sekolah-Sekolah Cina (Dong Zong) telah diterima setakat ini, kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Huzir Mohamed.

"Kami juga telah membuka kertas siasatan yang dijalankan Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bukit Aman (USJT) D5,” katanya ketika diminta mengulas mengenai isu Dong Zong di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor.

Sebelum ini, Pengerusi Dong Zong, Tan Tai Kim dilapor berkata, badan pertubuhan pendidikan Cina itu akan menggerakkan kempen mengumpul tandatangan sebagai membantah pembelajaran khat di sekolah vernakular, selain bertegas langkah kerajaan memperkenalkan tulisan itu di sekolah sebagai satu bentuk ‘Islamisasi’.

Sebagai respons, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad pada Selasa melabelkan pertubuhan itu sebagai ‘rasis’, kerana disifatkan tidak pernah bersetuju dengan apa-apa keputusan kerajaan sebelum ini termasuk pengenalan Sekolah Wawasan yang menempatkan sekolah Cina, sekolah Tamil, dan sekolah kebangsaan dalam satu kawasan sama.

Dalam perkembangan lain, Huzir berkata pihaknya telah menerima sebanyak 115 laporan polis, serta membuka kertas siasatan berhubung isu kehadiran pendakwah Dr Zakir Naik di negara ini.

"Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan, kerana mengeluarkan kenyataan dengan sengaja mengaibkan dengan niat hendak memecahkan keamanan," katanya.

Pada Selasa lepas, Dr Mahathir dilaporkan berkata masalah yang dihadapi kerajaan ialah Zakir tidak boleh dihantar balik ke negara asalnya, India, kerana bimbang dibunuh.

Bagaimanapun, beliau terbuka kepada sebarang cadangan untuk menghantar Zakir ke mana-mana negara yang mahu menerima penceramah itu.

Antara kenyataan kontroversi Zakir ialah semasa ceramahnya pada 3 Ogos, di mana beliau dilaporkan mendakwa penganut Hindu Malaysia lebih setia kepada Perdana Menteri India Narendra Modi, berbanding Dr Mahathir.

Beliau juga turut dilaporkan membuat kenyataan kritis terhadap masyarakat Cina di Malaysia sebagai respons kepada desakan supaya beliau diusir dari negara ini.

- Bernama

Lihat Komen
ADS