Kementerian Tan Sri Muhyiddin Yassin menerima kecaman daripada ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang tidak puashati dengan layanan yang diberikan oleh pegawai agensi-agensinya.

Mereka mendakwa mutu perkhidmatan pegawai agensi-agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani tidak memuaskan.

Isu tersebut dibangkitkan oleh Mohamad Shahrum Osman (BN-Lipis) ketika membahaskan usul Menjunjung Kasih Titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat semalam.

Beliau berkata, terdapat pegawai-pegawai di bawah kementerian itu, termasuk pegawai pelaksana, yang gagal memainkan peranan mereka kerana tidak faham objektif sesuatu program yang dilaksanakan oleh kementerian.

"Dalam isu Dasar Pertanian Negara contohnya, mereka ibarat 'spotlight' (lampu sorot) yang menyuluh ke langit, bila kita dekat langsung tak nampak apa," katanya.

Menurut Shahrum, walaupun tidak wajar untuk melabelkan semua kakitangan kementerian itu sebagai tidak cekap, tetapi tegas beliau, langkah perlu diambil bagi memastikan sistem petanian negara berada di landasan yang betul.

Kesan negatif

Menurut laporan Bernama, Nasaruddin Hashim (BN-Parit) pula menyifatkan ketidakcekapan para pegawai di bawah kementerian itu, terutamanya dalam usaha membantu para petani, boleh memberi kesan negatif

terhadap usaha meningkatkan industri pertanian negara.

Pada tahun lalu, katanya, kementerian berkenaan memberikan bantuan kepada orang miskin di kawasannya, dengan memberikan hanya 15 ekor lembu kepada lebih 8,000 penduduk di kawasan itu.

"Memanglah bukan semua penduduk di kawasan itu layak dapat, tapi kalau dilihat jumlah penduduk dan jumlah lembu yang diberikan, di mana kesungguhan kerajaan?" soalnya.

Datuk Dr Mat Yasir Ikhsan (BN-Sabak Bernam) turut menghangatkan lagi perbahasan apabila beliau bangun mencadangkan supaya pihak tertentu dilantik bagi menulis mengenai "kisah benar" sistem penyampaian perkhidmatan awam negara.

Katanya, ini memandangkan ramai anggota dewan yang mempunyai pengalaman berurusan dengan mutu perkhidmatan yang tidak cekap.

"Yang peliknya sesetengah (yang tidak cekap dan menyeleweng) masih kekal dalam perkhidmatan dan naik pangkat.

"Saya juga cadangkan supaya tindakan yang lebih tegas dikenakan ke atas mereka ini bagi memastikan apa yang mereka lakukan itu tidak terpalit pada orang lain," katanya.