Kesemua doktor dan pakar bedah di hospital kerajaan kini dibenar melakukan khidmat doktor sambilan (lokum) untuk pendapatan tambahan selepas tugas rasmi atau semasa cuti.

Bagaimanapu , mereka dimestikan mematuhi syarat yang dikenakan antaranya, tugas-tugas luar itu tidak bercanggah dengan kepentingan perkhidmatan dan mereka perlulah mengambil insurans sebagai perlindungan untuk pesakit.

"Kita tahu ramai yang mengamalkan lokum tanpa kebenaran dan penguatkuasaan juga sukar dilakukan. Jadi kita mengambil keputusan membenarkan doktor menjalankan lokum di sektor swasta dengan syarat beliau mendapat kebenaran bertulis," kata Menteri Kesihatan Datuk Dr Chua Soi Lek hari ini.

Bercakap kepada pemberita selepas melancarkan persidangan antarabangsa mengenai "Robotic Urologic Surgery" di Hospital Kuala Lumpur Hospital, beliau berkata, ketika ini kira-kira 15 peratus daripada lebih 10,000 orang doktor dan pakar kerajaan, menjalankan lokum tanpa kebenaran kerajaan.

Beliau turut mengingatkan doktor dan pakar kerajaan yang menjalankan lokum bahawa kerajaan tidak memberi perlindungan kepada mereka kecuali untuk tugas-tugas rasmi.

Keluar garispanduan

"Kita tidak akan memaksa mereka mengambil perlindungan insurans tetapi mereka perlu ingat akan risiko yang bakal mereka ambil," katanya.

Menurut Bernama, beliau bagaimana tidak menyatakan nilai insurans yang patut diambil oleh seseorang doktor semasa menjalankan khidmat lokum.

Bagaimanapun, katanya doktor-doktor yang bertugas di bahagian penguatkuasaan kementerian itu, tidak akan dibenarkan mengambil lokum kerana bimbang ianya mungkin bercanggah dengan kepentingan perkhidmatan.

Satu garis panduan mengenai lokum itu adakan diedarkan tidak lama lagi di kesemua hospital kerajaan, kata Dr Chua.