Lawatan wakil khas Asean ke Burma untuk mengenakan tekanan ke atas negara itu supaya mempercepatkan proses pembaharuan demokrasi, disifatkan oleh para penganalisa sebagai satu "hiasan sahaja", tanpa pertemuan dengan pemimpin pro-demokrasi Aung San Suu Kyi.

Wakil khas tersebut yang juga Menteri Luar Malaysia, Datuk Seri Syed Hamid Albar, akan menemui Perdana Menteri Soe Win hari ini, dalam lawatannya untuk meninjau perkembangan proses pembaharuan di negara itu yang kini dikecam hebat oleh masyarakat dunia kerana pelanggaran hak asasi manusia.

Tetapi Syed Hamid tidak dijangka menemui Aung San Suu Kyi sewaktu lawatan hari ke negara itu, kata para diplomat di Yangon. Beliau dijangka berlepas pulang awal esok.

Seorang penganalisa berkata, tanpa pertermuan dengan Suu Kyi, lawatan Syed Hamid itu tidak lebih daripada satu "hiasan sahaja".

"Myanmar tidak menjemput beliau. Asean yang memaksa Myanmar menjemputnya kerana tindak-tanduk Myanmar telah menjejas nama baik Asean," kata bekas Duta Thailand ke Bangsa-Bangsa Bersatu, Asda Juyanama.

"Myanmar tidak menyedari apa yang sedang berlaku dalam negara itu, memberi kesan negatif terhadap imej Asean. Jika wakil khas itu hanya bercakap dengan pihak kerajaan, maka lawatannya tidak lebih daripada 'hiasan sahaja'. Ia hanya dilihat baik dari segi memberi publisiti kepada Myanmar," katanya.

Akhbar harian milik kerajaan Myanmar New Light of Myanmar berkata Syed Hamid tiba di Rangoon "untuk kunjungan muhibbah" tetapi laporannya tidak langsung menyentuh mengenai misinya ke sana mewakili 10 negara anggota Asean.

Tekanan masyarakat antarabangsa

Burma, yang menyertai Asean pada 1997, bersetuju ketika sidang puncak Asean tahun lalu untuk menjemput Syed Hamid melawat negara itu Januari lalu.

Tetapi lawatan itu ditangguhkan ekoran permintaan Syed Hamid untuk menemui Suu Kyi, yang menjadi punca tekanan masyarakat antarabangsa ke atas kerajaan tentera Burma supaya mengembalikan demokrasi di negara itu.

Junta tentera telah menggagalkan demonstrasi pro-demokrasi pada 1988 dan dua tahun kemudiannya menolak keputusan pilihanraya nasional yang dimenangi Parti Liga Demokrasi Kebangsaan (NLD) pimpinan Suu Kyi.

Awal bulan ini, Presiden Amerika Syarikat, George W Bush, ketika melawat India, telah menggesa semua negara supaya berusaha mendapatkan pembebasan Suu Kyi, selepas tempoh tahanan di rumah ke atasnya, telah dilanjutkan Disember lalu selama enam bulan lagi.

Selain Suu Kyi, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menganggarkan terdapat lebih 1,100 tahanan politik di Burma.

Kecaman keras

Dalam laporan tahunannya mengenai hak asasi manusia yang dikeluarkan bulan ini, Washington, yang menjadi pengkritik utama Burma, berkata, rekod hak asasi manusia kerajaan Burma bertambah buruk dan pemerintah tenteranya terus melakukan pelanggaran serius hak asasi manusia.

Burma menyertai Asean pada 1997 tetapi kegagalannya untuk mengkotai janjinya untuk mengembalikan demokrasi, semakin tidak disenangi pemimpin lain pertubuhan serantau itu.

Baru-baru ini, kerajaan junta itu mengejutkan blok Asian apabila secara rahsia, memindahkan ibunegaranya ke Pyinmana, yang terletak 320km (200 batu) ke utara Yangon.

Walaupun Asean masih mengekalkan dasar tidak campurtangannya dalam urusan negara anggotanya, tetapi ia semakin keras mengkritik Burma ekoran tekanan kuat daripada Washington, kata para diplomats.

Amerika melarang sepenuhnya eksport Burma kerana kerajaan junta tenteranya melanggar hak asasi manusia, manakala Kesatuan Eropah turut mengenakan larangan seperti larangan perjalanan ke Burma, embargo senjata dan larangan pelaburan dalam syarikat dari negara itu.

Pihak tentera telah memerintan Burma sejak tahun 1962.

- AFP