Kaukus Antara Parlimen Asean mengenai Myanmar (AIPMC) amat memandang berat laporan mengenai pembunuhan kejam bekas tahanan politik Burma oleh pegawai Burma di Rangoon, Burma pada 17 Mac lalu.

Thet Naing Ong, 40, dilaporkan telah dipukul di khalayak ramai oleh pegawai perbandaran Rangoon dan anggota bomba, selepas tercetus satu pertelagahan di kawasan pasar.

Dalam hubungan ini, AIPMC menggesa wakil khas Asean ke Burma, Syed Hamid Albar, supaya membangkitkan isu keganasan oleh pihak berkuasa Burma terhadap rakyatnya dan tahanan berterusan terhadap ahli-ahli Parlimen Burma.

"Kejadian itu menunjukkan lagi bukti-bukti bahawa perbuatan ganas terhadap orang awam, terutama yang mensasarkan aktivis pro-demokrasi dan ahli parti pembangkang, masih berleluasa di negara yang diperintahkan oleh regim tentera itu," kata Pengerusi AIPMC, Datuk Zaid Ibrahim.

Selama ini pun, katanya, sudah ada tuduhan dan laporan mengenai pegawai Burma menggunakan kekerasan yang melampu untuk membanteras pergerakan pro-demokrasi di negara itu.

'Hentikan keganasan'

"Regim tentera Burma juga terus menerus menekan pemimpin rakyat seperti Pemenang Hadiah Nobel Keamanan, Aung San Suu Kyi melalui cara yang tidak adil seperti mengenakan tahanan di rumah atau dipenjara," kata Zaid dalam satu kenyataan..

Oleh itu, AIPMC mendesak kerajaan Burma supaya menghentikan keganasan terhadap rakyatnya dan menghentikan tekanan terhadap para pemimpinnya.

"Junta tentera itu mesti membebas segera tanpa syarat semua tahanan politik, termasuk Suu Kyi.

"Kami juga mendesak para jeneral Burma supaya mengambil tindakan terhadap pegawai yang bertanggungjawab terhadap kematian Thet Naing Oo, yang dibebaskan tiga tahun lalu, selepas dipenjara selama satu dekad kerana kepercayaan politiknya," tambahnya.

Menurutnya, hanya dengan menghentikan perbuatan melanggar hak asasi manusia di Burma, baru Asean boleh berpuashati bahawa regim berkenaan benar-benar ikhlas berusaha ke arah membawa pembaharuan demokrasi di negara ini, sepertimana yang dikehendaki oleh pertubuhan serantau itu sendiri.