H5N1: Lebih 900 penduduk Permatang Bogak diperiksa
Jabatan Kesihatan telah menjalankan pemeriksaan ke atas lebih 900 penduduk Permatang Bogak di Kepala Batas sejak 20 Mac lalu, selepas virus selesema burung (H5N1) dikesan di kawasan tersebut, bagi memastikan virus itu tidak merebak kepada manusia.
Jabatan Kesihatan telah menjalankan pemeriksaan ke atas lebih 900 penduduk Permatang Bogak di Kepala Batas sejak 20 Mac lalu, selepas virus selesema burung (H5N1) dikesan di kawasan tersebut, bagi memastikan virus itu tidak merebak kepada manusia.
Setakat ini, tiga penduduk di kawasan itu yang demam dengan suhu melebihi 38 darjah Celcius dan mempunyai tanda-tanda selesema, dimasukkan ke hospital untuk menjalani ujian virus H5N1.
Setiausaha Parlimen Kementerian Kesihatan, Datuk Lee Kah Choon berkata keputusan ujian terhadap dua daripada pesakit itu yang dimasukkan ke Hospital Pulau Pinang (HPP) dan Hospital Kepala Batas, disahkan negatif dan mereka dibenarkan pulang.
Sementara itu, beliau berkata seorang lagi kanak-kanak perempuan berumur dua tahun sembilan bulan yang dimasukkan ke Hospital Pulau Pinang (HPP) semalam, masih diberikan rawatan sementara menunggu keputusan ujian yang dijalankan di makmal Institut Kajian Perubatan (IMR) di Kuala Lumpur.
Katanya, walaupun Malaysia tidak mencatatkan sebarang kes positif virus H5N1, kementerian itu sentiasa memantau dan mempertingkatkan pelan pengawalan perebakan virus itu kepada manusia.
Lee berkata pada masa yang sama, kerajaan akan menambah bilangan hospital yang mempunyai wad pengasingan yang dikhususkan untuk rawatan penyakit itu daripada 21 sedia ada, mengikut keperluan dan pertambahan kawasan yang dikesan berlaku wabak itu.
Rawatan rapi
"Inilah aspek penting yang diutamakan oleh kerajaan selain memastikan ubat-ubatan dan peralatan di hospital berkenaan sentiasa cukup dan dalam keadaan yang cukup bersedia," kata kepada pemberita selepas majlis taklimat mengenai situasi dan persiapan menghadapi penyakit selesema burung di Hospital Kepala Batas di Kepala Batas hari ini,
Menurut laporan Bernama, beliau berkata, dua hospital di Pulau Pinang iaitu HPP dan Hospital Kepala Batas dikhususkan untuk rawatan penyakit itu.
Selain itu, beliau meminta kakitangan hospital supaya tidak panik dan membuat andaian bahawa setiap pesakit yang diberi rawatan dan menjalani ujian H5N1 telah dijangkiti virus itu kerana mereka boleh memberi gambaran yang salah kepada masyarakat.
Beliau turut menasihatkan penduduk di kawasan indeks virus itu yang demam melebihi 38 darjah Celcius dan mempunyai tanda-tanda selesema perlu segera dimasukkan ke hospital untuk menjalani ujian H5N1 dan bagi menjalani rawatan rapi.
Katanya kakitangan Jabatan Kesihatan telah menjalankan pemeriksaan aktif dan melawat lebih 250 rumah penduduk di Permatang Bogak serta memberikan penerangan dan risalah mengenai penyakit itu.
Turut hadir pada majlis itu ialah Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebajikan dan Masyarakat Penyayang Negeri, P. Subbaiyah dan Pengarah Kesihatan Negeri Dr Ong Chee Leng.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.