Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

ULASAN | Masalah perkauman boleh wujud di mana-mana saja dalam dunia ini sekiranya faktor yang membawa kepada kemunculannya dibiarkan tanpa sebarang usaha pembanterasan sejak di peringkat tunas.

AS pernah menunjukkan kepada dunia bagaimana sentimen warna kulit dijaja dan dimain-mainkan sepanjang kempen pilihan raya presiden yang lalu.

China juga mungkin sedang mengalami situasi serupa di salah satu bahagian negara itu. Tidak lupa, Afrika Selatan yang menyaksikan bagaimana suatu bangsa ditindas dengan amat kejam suatu masa dahulu.

Malaysia sebuah negara berbilang kaum dan mempunyai keunikan tersendiri ketika Melayu menjadi majoriti yang hidup bersama-sama etnik lain seperti Cina, India, Dayak, Kadazan dan sebagainya.

Keunikan Malaysia seharusnya dikekalkan dengan rupanya yang tersendiri. Islam sebagai agama negara tidak sewajarnya dipandang mudah atau diabaikan peranannya oleh semua warga Malaysia.

Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi pula mesti didaulatkan sebagaimana dikehendaki dan dipersetujui semua semasa perlembagaan dirangka dahulu.

Kebebasan beragama - dengan batasan yang ditetapkan oleh undang-undang - mesti tidak dilanggari. Semua pihak wajib mengekalkan Malaysia dalam keharmonian, kesejahteraan dan berjaya.

Hari ini, apabila ada satu dua isu melibatkan agama dan kaum dibangkitkan, masing-masing seperti terlupa kepada faktor dan ramuan kejayaan sebuah negara seperti Malaysia ini.

Mahu puaskan nafsu saja

Bergegaslah masing-masing mempertahankan kaum sendiri, kumpulan sendiri dan pandangan sendiri. Lebih memburukkan keadaan ia dilakukan dengan penuh emosi namun tempang dari segi semangat.

Hadir bersama garang yang tak bertempat, sehingga sampailah kita ke tahap amat menakutkan.

Sudah ada orang alim Islam yang berani memberi amaran kepada kaum lain dengan nada seperti menyeru jihad melawan tentera Salib.

Jika mahu meraih sokongan, memang dapatlah. Jika mahu menaikkan semangat, melantun-lantun gelora para pengikut sehingga ke suatu tahap, tinggal seruan sahaja untuk dilaungkan agar berjihad.

Siapa tidak mahu syurga?

Tapi itulah, bagaimana penghayatan Islam di atas muka bumi ini selaku khalifah dan khilafah?

Begitu juga di pihak sebelah bertentangan yang tanpa segan silu, tanpa rasa gusar, seperti tidak mahu lagi menghormati kedudukan Islam sebagai agama persekutuan.

Atas nama hak kebebasan bersuara dan hak asasi, mahu saja nafsu itu dipuaskan.

Beringatlah teman-teman, bumi Malaysia ini hanya ada satu sahaja buat kita semua.

Wahai rakyat Malaysia, jangan dilupakan ancaman dalam sebuah pepatah agung: menang jadi arang kalah jadi abu.

Jika Malaysia dibiarkan berantakan atas isu kaum dan agama dan orang-orang bijak bestari pula yang mengambil bahagian, siapa lagi yang boleh menghentikan arus dan gelombang marah-marah dan garang ini?

Apa solusinya bagi masalah hari ini?

Khusus untuk masyarakat Muslim, kita semua yakin bahawa Islam adalah agama sempurna dengan pelbagai solusi untuk setiap situasi.

Ketika aman, ketika terkepung, ketika perang, ketika berpakat, ketika hidup bersama dan seumpamanya - Islam menyediakan solusi.

Asingkan sentimen politik kepartian

Lewat ayat-ayat suci al-Quran dan hadis-hadis sahih Nabi Muhammad SAW, para alim ulama wajib meletakkan ayat dan hadis yang tepat kepada apa yang sebenarnya sedang berlaku di Malaysia. Silap langkah, padah natijahnya.

Umat Islam Malaysia bukannya sedang berperang dengan musuh agama. Rakyat Malaysia daripada kalangan non-Muslim masih lagi mematuhi peraturan yang ditetapkan negara dan tidak luntur kasih dan sayang mereka kepada Malaysia.

Orang Melayu juga masih dalam keadaan amat baik melalui sistem dan rupa bentuk kerajaan dan negara yang sememangnya menjaga kepentingan Melayu dan bumiputera berdasarkan perlembagaan.

Kita dalam aman sahabat-sahabat. Kita masih selamat kawan-kawan. Kita kekalkan keharmonian ini dengan ibadah dan kepercayaan masing-masing.

Mari hidup secara harmoni, berniaga dengan jujur dan bersukan demi kesihatan. Semua itu kita lakukan bersama. Kita membina rahmat dengan makna kasih dan sayang satu sama lain.

Kenapa dengan satu dua masalah, kita - umat Islam - sudah mahu menjual cabaran dengan kegarangan? Mahu siapa membelinya? Ya, saya khususkan pertanyaan ini kepada kaum dan bangsa saya. Sahabat dan rakan seakidah.

Bayangkan apabila segelintir umat Islam berterusan salah memahami konsep kufur harbi dan zimmi akibat kegelojohan agamawan tertentu berhujah dan berpolitik.

Lihat beraninya segelintir umat Islam menyiapkan parang dan golok atas nama agama selepas dipanaskan dengan ancaman negara tercinta ini bila-bila masa sahaja bakal dirampas orang-orang kafir.

Apakah semua ini? Itukah yang diajar oleh Allah dan Rasul?

Malangnya, keributan ini langsung tidak diendahkan oleh agamawan dalam negara kecuali seorang dua yang berani memberi nasihat umum kepada umat Islam.

Kebenaran tidak boleh didiamkan. Biarpun Imam Ahmad diancam penjara, beliau memilih menyuarakan kebenaran. Dalam konteks Malaysia hari ini, kebenaran itu ialah mengekalkan keharmonian atas nama Islam.

Apa solusi bagi keserabutan ini?

Selain apa yang telah saya ungkapkan di atas, belajarlah untuk mengasingkan sentimen politik dan kepartian ketika berbicara soal ummah dan Islam. Jangan nanti, masyarakat percaya orang politik dan orang agama dalam politik benar-benar sedang menguruskan kepentingan masing-masing melalui isu-isu berkaitan agama dan kaum ini.

Isu panas hari ini, bermula panas hanya apabila ia melibatkan parti politik dan pentas politik.

Kalau Malaysia hancur, siapa yang mampu membinanya semula?


PUJANGGA RAMADZAN ialah pelayar laman sosial yang memiliki latar pengajian Islam di Timur Tengah. Dia berbangsa Melayu dan berkawan dengan semua penganut agama dan bangsa lain di sekitarnya.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS