Malaysiakini BERITA

Umno, PAS sasar 10,000 hadir Himpunan Penyatuan Ummah

Haspaizi Zain  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Umno dan PAS mensasarkan 10,000 ahli serta penyokong akan hadir pada majis menandatangani piagam muafakat nasional sempena Himpunan Penyatuan Ummah membabitkan dua parti teras orang Melayu itu pada 14 Sept depan.

Setiausaha Agung Umno, Annuar Musa, berkata muafakat itu akan menjadi alternatif baru kepada rakyat untuk membentuk kerajaan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.

Beliau berkata, perhimpunan itu akan turut disertai parti komponen BN termasuk MCA dan MIC serta rakan gabungan PAS dalam Gagasan Sejahtera.

"Tak kurang 10,000 dijangka akan hadir membabitkan pemimpin parti, ahli serta penyokong kedua-dua parti dan juga parti sahabat.

"Apa yang kita Umno, PAS lakukan ini bersifat dinamik menjurus ke arah PRU ke-15," katanya dalam sidang media di ibu pejabat Umno di Kuala Lumpur, hari ini.

Hadir sama Setiauasaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan.

Sebelum ini Umno dan PAS menjalinkan "taawun siyasi" yang bermaksud kerjasama politik secara rasmi selepas BN tewas pada PRU ke-14 lalu.

Ia sekali gus menamatkan permusuhan politik antara kedua-dua parti berteraskan Melayu itu yang telah berlarutan puluhan tahun lamanya.

Melalui kerjasama dengan PAS, BN berjaya memenangi beberapa Pilihan Raya Kecil (PRK) selepas PRU-14 termasuk di PRK Parlimen Cameron Highlands, Semenyih dan Rantau.

Kerjasama dengan PAS turut menghubungkan parti Islam itu dengan komponen BN iaitu, MCA dan MIC.

'Bukan Islam tak perlu gusar'

Dalam pada itu, Annuar yakin peristiwa penyatuan Umno dan PAS secara rasmi 14 Sept nanti mungkin akan menggusarkan parti lawan.

Bagaimanapun katanya, bukan Islam tidak perlu gusar kepada penyatuan ini kerana Islam mengajar pemimpinnya berlaku ada pada semua.

“Mungkin peristiwa penyatuan kerjasama politik ini bakal menggusarkan Pakatan Harapan (PH).

"Kami tidak kisah, kerana kerjasama ini menjurus kepada persiapan PRU ke-15.

“Kerjasama Umno dan PAS ini tidak seharusnya menjadi kekhuatiran kepada masyarakat bukan Islam di negara ini kerana ajaran Islam sentiasa mengambil berat akan kebajikan dan masa depan semua kaum,” katanya.

Terdahulu, kedua-dua parti mengadakan mesyuarat jawatankuasa pelaksana Himpunan Penyatuan Ummah membabitkan pemimpin daripada kedua-dua belah pihak.