Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P. Waytha Moorthy memfailkan saman terhadap Ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Lokman Noor Adam berhubung ucapan berbaur fitnah membabitkan kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim pada perhimpunan yang diadakan di ibu negara pada 4 Jan lepas.

Saman fitnah itu difailkan Waytha Moorthy, 53, menteri yang bertanggungjawab dalam perpaduan nasional dan kesejahteraan sosial, selaku plaintif menerusi Tetuan Azri, Lee Swee Seng & Co pada 26 April lepas dengan menamakan Lokman Noor, 46, sebagai defendan.

Pihak media memperoleh salinan dokumen itu selepas pengurusan kes di dalam kamar Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Seri Latifah Mohd Tahar hari ini, yang turut dihadiri peguam Annou Xavier yang mewakili menteri terbabit dan peguam N. Logendran bertindak bagi pihak Lokman Noor.

Annou memberitahu pemberita bahawa mahkamah menetapkan 1 Nov untuk pengurusan kes selanjutnya.

Dalam penyataan tuntutan, Waytha Moorthy, yang juga senator, mendakwa defendan telah berucap pada perhimpunan bantahan yang dihadiri kira-kira 100 peserta dan menyebabkan ucapannya dimuat naik dalam laman Facebooknya yang telah mendapat paparan sebanyak 55,000 dan dikongsi sebanyak 1,658 setakat 18 April lepas.

Dakwa plaintif, ucapan fitnah itu diterbitkan menerusi dua video yang dimuat naik melalui saluran Youtube KiniTV dan Sinar TV antaranya bertajuk "Beberapa menteri cuba ubah laporan bedah siasat Adib, dakwa Lokman".

Plaintif juga mendakwa ucapan fitnah itu turut diterbitkan di dalam empat artikel antaranya bertajuk "Lokman dakwa beberapa menteri cuba ubah laporan bedah siasat Adib" dan "Waytha Moorthy antara menteri minta ubah keputusan bedah siasat Adib" di beberapa portal berita termasuk Malaysiakini dan Minda Rakyat bertarikh 4 Jan dan 5 Jan lepas.

Dakwanya, kenyataan fitnah itu antara lain bermaksud beliau seorang menteri yang tidak jujur, cuba memanipulasi laporan perubatan berkaitan kematian Muhammad Adib, gagal melaksanakan tugas sebagai menteri yang bertanggungjawab dalam perpaduan nasional dan kesejahteraan sosial selain menghasut rusuhan di Kuil Sri Mariamman di USJ Subang.

Menteri itu juga mendakwa kenyataan fitnah itu adalah tidak benar dan menyebabkan reputasinya sebagai menteri dan senator Dewan Negara terjejas.

Katanya, satu surat tuntutan telah dikeluarkan pada 11 Mac lepas bagi menuntut defendan mengemukakan permohonan maaf, namun defendan gagal berbuat demikian, oleh itu plaintif antara lain menuntut ganti rugi am, teladan dan injunksi untuk menghalang defendan atau ejennya daripada menerbitkan semula ucapan fitnah berkenaan menerusi media cetak dan elektronik.

Lokman Noor dalam penyata pembelaan difailkan pada 3 Julai lepas, menafikan ucapannya pada perhimpunan itu memfitnah menteri itu dan mendakwa ucapan berkenaan adalah satu komen berpatutan dan dibuat berdasarkan fakta dengan niat untuk kepentingan orang ramai.

- Bernama

Lihat Komen
ADS