Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

PAS mengingatkan pihak polis tidak menyekat usaha dakwah dengan melarang Dr Zakir Naik menyampaikan ceramah awam.

Sebaliknya, kata timbalan presiden parti itu Tuan Ibrahim Tuan Man, garis panduan perlu diberikan kepada Zakir agar tidak menyentuh isu sensitif.

"Jangan menyekat dakwah, ia bercanggah dengan nas syarak. Bagi garis panduan agar beliau tidak menyentuh isu sensitif.

"Manfaatkan kepakaran beliau dan khasnya dalam kalangan golongan intelek," katanya yang juga anggota parlimen Kubang Kerian kepada Malaysiakini hari ini.

Terdahulu polis dilapor mengharamkan pendakwah Dr Zakir menyampaikan ceramah awam atas “demi kepentingan keselamatan negara dan untuk memelihara keharmonian kaum”.

Semalam, Zakir sekali lagi dipanggil ke Bukit Aman bagi merakam keterangannya berhubung ucapan didakwa berbaur perkauman dalam satu program di Kelantan, baru-baru ini.

Zakir mendakwa kenyataannya dipetik di luar konteks.

Ahad lalu, media melaporkan Melaka antara enam negeri yang mengenakan larangan ceramah terhadap Zakir selepas Selangor, Pulau Pinang, Kedah, Perlis, Sarawak dan Johor.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad pada Ahad lalu juga turut menyifatkan kenyataan Zakir sebagai seorang pemastautin tetap Malaysia melanggar peraturan.

Zakir kini disiasat di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan kerana mengeluarkan kenyataan yang boleh mengancam keamanan.

Sementara itu Tuan Ibrahim berkata kerajaan persekutuan sepatutnya mengotakan janji untuk lebih terbuka selain menggalakkan dialog ilmiah dan wacana intelektual.

"Selain itu, urusan agama dipantau oleh majlis agama di setiap negeri," katanya ringkas.

Lihat Komen
ADS