Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Wanita Umno Selangor bantu pekerja Utusan Melayu

Wanita Umno Selangor mengambil inisiatif sendiri bagi membantu pekerja ratusan pekerja Utusan Melayu (M) Bhd (Utusan Melayu) yang sedang menghadapi masalah kewangan.

Pengerusi Umno Selangor, Mat Nadzari Ahmad Dahlan, memberitahu pergerakan wanita parti itu sedang menggerakkan kempen bagi mengumpulkan dana sebelum disumbangkan kepada pekerja tidak lama lagi.

Katanya kempen tersebut dijalankan sejak tiga hari lalu dan dijangka berakhir dua minggu lagi.

Sementara itu Ketua Wanita Umno Selangor, Rosni Sohar, berkata dana itu turut digerakkan ke seluruh cawangan Umno di negeri terbabit.

"Kami tak adalah biarkan (nasib pekerja Utusan Melayu), cuma akaun Umno dibekukan, jadi macam mana kita nak bantu," katanya kepada pemberita pada sidang media di Ibu Pejabat Umno Selangor di Shah Alam hari ini.

Rosni yang juga bendahari wanita Umno kebangsaan berkata, bantuan tersebut akan disalurkan dalam bentuk kewangan.

Utusan Melayu - yang sebelum ini kalah dalam beberapa saman dikemukakan pemimpin PH - berdepan dengan masalah kewangan dan ia menjadi lebih parah apabila Umno gagal menjadi kerajaan pusat sejak Mei tahun lalu.

Kemerosotan jualan akhbar turut menyumbang kepada masalah kewangan dihadapi syarikat penerbitan akhbar Melayu tertua Malaysia itu.

Utusan Melayu dikatakan gagal membayar gaji kepada pekerja mereka sejak Mei lalu.

Selain Utusan Malaysia, syarikat itu juga menerbitkan akhbar Kosmo!. Asalnya mereka menerbitkan akhbar Jawi, Utusan Melayu.

Sementara itu Mat Nadzari berkata Umno Selangor sedih dengan kesulitan dialami pekerja Utusan Melayu namun kekangan kewangan parti terbabit menyukarkan usaha tersebut.

“Berapa kuat yang kita boleh bantu tu, kita tak dapat nak cakap sebab kos overhead dia sangat tinggi,” katanya.

Terdahulu, Setiausaha Agung Umno Annuar Musa berkata parti itu tidak akan "cuci tangan" dengan membiarkan kemelut Utusan Melayu berlanjutan.

Lihat Komen
ADS