Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images

Pengerusi Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) cawangan Utusan, Mohd Taufek Abdul Razak, mendakwa bayaran maksimum RM2,000 kepada kakitangan syarikat Utusan Melayu (M) Bhd (Utusan Melayu) yang mula diterima malam ini adalah hasil suntikan dana daripada Umno.

Menurut Taufek, Umno membuat suntikan dana bersih sebanyak RM1.6 juta ke syarikat yang menerbitkan akhbar harian Utusan Malaysia dan Kosmo! itu.

“Saudara semua tahu (Presiden Umno) Dr Ahmad Zahid telah mengadakan mesyuarat dengan ahli lembaga pengarah Utusan.

“Dan hasil desakan melalui piket semalam kami, menerima suntikan (dana) daripada Umno dalam RM1.6 juta,” katanya pada sidang media di pejabat syarikat itu di Kuala Lumpur, lewat petang tadi.

Semalam, kira-kira 100 kakitangan dan bekas kakitangan Utusan Melayu berpiket menuntut gaji mereka yang didakwa tidak dibayar selama tiga bulan.

Mereka juga diberitahu bahawa dua akhbar syarikat itu - Utusan Malaysia dan Kosmo! - akan berhenti dicetak sehingga ke satu tarikh yang tidak didedahkan.

Bagaimanapun ketika ditanya mengenai dakwaan NUJ Utusan itu, Pengerusi Eksekutif Kumpulan Utusan Melayu, Abd Aziz Sheikh Fadzir, enggan mengulas lanjut berhubung kenyataan tersebut.

Sementara itu, dalam sidang media berasingan Aziz menegaskan, Umno tidak pernah campur tangan dalam urusan sidang pengarang akhbar terbabit sejak beliau mengambil alih akhbar berkenaan.

Menurutnya, editorial Utusan Malaysia bebas menentukan hala tuju akhbar berkenaan dan bukannya berpihak kepada Umno semata-mata.

“Saya belum pernah lagi terima panggilan daripada Ahmad Zahid yang meminta sesetengah laporan berita itu wajib disiarkan... belum ada lagi.

"Kita bebas, kita bendak bawa mesej perpaduan dan kita bukannya rasis,” katanya.

Lihat Komen
ADS