Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Presiden PKR Anwar Ibrahim berharap Utusan Melayu yang merupakan syarikat akhbar berbahasa Melayu tertua di negara ini akan dapat menyelesaikan masalah kewangan dihadapi mereka.

Bagaimanapun, beliau menegaskan kerajaan tidak sepatutnya terlibat dalam menyelamatkan syarikat swasta itu yang kini bergelut untuk membayar gaji pekerjanya dan kemungkinan gulung tikar.

"(Untuk selamatkan Utusan) itu saya rasa sukar sebab ini bukan tanggungjawab kerajaan. Ia satu syarikat swasta yang menghadapi masalah," katanya ketika ditanya pada sidang akhbar di Cheras petang ini.

Anwar berkata beliau menghargai peranan akhbar tersebut dalam gerakan kemerdekaan Tanah Melayu serta senarai panjang wartawan Melayu yang telah dilahirkannya.

Bagaimanapun, beliau juga mengatakan Utusan sejak sekian lama telah menjadi "alat politik" untuk menentang musuh-musuh politik oleh pemegang saham majoritinya iaitu Umno.

"Saya adalah salah satu sasarannya, tapi saya tidak fikir itu mengelirukan atau mempengaruhi keputusan saya.

"Pandangan saya melihat Utusan Malaysia dari sudut yang lebih terang dan luas, dari segi sejarah, (iaitu) sejarah kebangkitan rakyat (mencapai kemerdekaan).

"Saya harap ia dapat diselamatkan dan agak kesal dan menyedihkan kalau terkubur Utusan Malaysia," katanya.

Kesal dengan Najib

Mengulas kenyataan bekas Perdana Menteri Najib Razak yang menyalahkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) kerana membekukan aset Umno sebagai punca masalah dihadapi Utusan, Anwar berkata beliau kesal dengan kenyataan itu.

"Adalah dikesalkan apabila Najib menggunakan ini untuk tujuan politik.

"Ia sebenarnya adalah isu pengurusan dan kamu tahu Utusan telah menghadapi masalah selama bertahun-tahun.

"Dan sudah tentu ia diburukkan lagi dengan perubahan kerajaan, kerana tiada lagi perlindungan seumpama itu," katanya.

Umno yang sebelum ini memiliki Utusan menjual 31.61 peratus pegangannya kepada bekas anggota parlimen Kulim-Bandar Baru, Abd Aziz Sheikh Fadzir pada Februari tahun ini.

Pegangan itu dijual pada harga RM6.65 juta atau 65.2 peratus premium.

Lihat Komen
ADS