Misi gagal, Syed Hamid pendekkan lawatan ke Burma
Wakil khas Asean, Datuk Seri Syed Hamid Albar telah memendekkan lawatannya ke Burma tanpa bertemu pemimpin pro-demokrasi, Aung San Suu Kyi, kata sumber-sumber keselamatan dan diplomat.
Wakil khas Asean, Datuk Seri Syed Hamid Albar telah memendekkan lawatannya ke Burma tanpa bertemu pemimpin pro-demokrasi, Aung San Suu Kyi, kata sumber-sumber keselamatan dan diplomat.
Beliau yang juga Menteri Luar Malaysia, dijadual mengadakan lawatan tiga hari ke Burma, tetapi berlepas pulang malam tadi, iaitu sehari lebih awal.
"Beliau berlepas pulang malam ini (malam tadi). Setakat yang kami tahu, beliau telah menemui menteri luar dan Perdana Menteri. Beliau tidak akan bertemu dengan Suu Kyi," kata seorang diplomat di Ranggon.
Manakala sumber-sumber lapangan terbang pula memberitahu AFP bahawa Syed Hamid berlepas dari Burma lewat petang semalam.
"Mungkin (Syed Hamid) juga turut dikecewakan," kata seorang lagi diplomat kepada AFP.
Sebelum ini, Syed Hamid mengadakan perbincangan dengan Perdana Menteri Soe Win ketika lawatan ke Burma bertujuan untuk meninjau perkembangan proses pembaharuan demokrasi di negara itu berikutan kecaman hebat masyarakat antarabangsa.
Burma, yang diterima menyertai Asean pada 1997, bersetuju dalam sidang puncak pertubuhan tahun lalu, untuk menjempat Syed Hamid melawat negara itu Januari lalu.
'Bina jambatan'
Bagaimanapun, lawatan tersebut tertangguh berikutan permintaan wakil khas Asean itu untuk menemui Pemenang Hadiah Nobel Keamanan Suu Kyi, yang menghabis masa selama 16 tahun sama ada dipenjara atau dikenakan tahanan di rumah.
"Misi ini adalah permulaan kepada proses membina jambatan antara Asean dan Myanmar. Jika wakil khas Asean itu berkeras mahu bertemu segera dengan Suu Kyi, maka misi tersebut pastinya akan menemui kegagalan," kata seorang diplomat Barat di Rangoon.
"Tujuan misi tersebut adalah untuk menilai proses demokrasi," katanya, sambil menambah beliau juga ragu sama ada Syed Hamid dapat menemui sebarang anggota parti pembangkang pimpinan Suu Kyi, Parti Demokrasi Kebangsaan (NLD).
Bercakap sebelum beliau berlepas pulang, seorang penganalisa berkata, tanpa pertemuan dengan Suu Kyi, lawatan Syed Hamid tidak akan membawa sebarang hasil, dan menjadi satu 'hiasan sahaja'.
"Myanmar tidak menjemput beliau. Asean yang memaksa Myanmar menjemputnya kerana tindak-tanduk Myanmar telah menjejas nama baik Asean," kata bekas Duta Thailand ke Bangsa-Bangsa Bersatu, Asda Juyanama.
"Myanmar tidak menyedari apa yang sedang berlaku dalam negara itu, memberi kesan negatif terhadap imej Asean. Jika wakil khas itu hanya bercakap dengan pihak kerajaan, maka lawatannya tidak lebih daripada 'hiasan sahaja'. Ia hanya dilihat baik dari segi memberi publisiti kepada Myanmar," katanya.
Junta tentera telah menggagalkan demonstrasi pro-demokrasi pada 1988 dan dua tahun kemudiannya menolak keputusan pilihanraya nasional yang dimenangi Parti Liga Demokrasi Kebangsaan (NLD) pimpinan Suu Kyi.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.