Ketua Polis Negara Tan Sri Mohd Bakri Omar menyifatkan 2005 sebagai tahun yang paling menyulitkan bagi pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana dugaan dan cabaran yang datang datang bertimpa-timpa.

Katanya, pada tahun lalu, dua suruhanjaya untuk menambahbaikan serta menyiasat prosedur pemeriksaan tubuh tahanan.

Katanya, belumpun sempat perakuan Suruhanjaya Diraja Penambahbaikkan Perjalanan dan Pengurusan PDRM dilaksanakan sepenuhnya, sebuah lagi suruhanjaya ditubuhkan bagi menyiasat prosedur tetap operasi berhubung pengendalian pemeriksaan tubuh tahanan.

Berikutan itu, katanya, arahan berhubung pemeriksaan tahanan polis dan kaedah pemeriksaan akan dikeluarkan untuk dijadikan perintah tetap Ketua Polis Negara kepada semua peringkat.

"Saya mahu arahan berhubung pemeriksaan badan ini ditunjukajarkan kepada semua peringkat pegawai dan anggota untuk dilaksanakan dengan segera," katanya dalam perutusan sempena sambutan Hari Polis yang ke-199.

Menurut laporan Bernama, Bakri berkata, kesedaran mengenai hak asasi manusia sepertimana yang termaktub dalam Perlembagaan Negara telah menjadikan tugas polis hari ini lebih sulit dan mencabar berbanding masa lalu, dan sekaligus telah merubah cara serta pendekatan kepolisan.

Hak asasi manusia

"Saya akui bahawa melaksanakan tanggungjawab serta mencari keseimbangan antara keadilan dan hak asasi memang menyulitkan, khasnya yang melibatkan penangkapan, penahanan dan soal siasat ke atas suspek," katanya.

Oleh itu, katanya, anggota polis kini tidak mempunyai pilihan lain, kecuali mematuhi sepenuhnya peraturan, arahan serta undang-undang yang ada.

Menurut Bakri (foto), walaupun dugaan dan cabaran datang bertimpa-timpa, namun peranan dan tanggungjawab sebagai penguatkuasa undang-undang tetap dilaksanakan di mana jumlah kes yang berjaya diselesaikan tahun lalu meningkat 1.99 peratus berbanding 46.46 peratus pada 2004.

Dari jumlah itu, 58.8 peratus kes jenayah kekerasan berjaya diselesaikan dan 46.7 peratus kes membabitkan harta benda yang menurut Bakri mreupakan kadar penyelesaikan yang terbaik dicapai sejak 1996.

Jumlah kes yang dilaporkan tahun lalu meningkat 0.64 peratus (1,004 kes) daripada 2004, dengan jumlah keseluruhan 157,459 dengan kadar purata 431 kes dilaporkan setiap hari atau 603 kes bagi setiap 100,000 penduduk.

Daripada jumlah, kata Bakri, 14.6 peratus membabitkan kes jenayah kekerasan manakala bakinya 85.94 peratus jenayah harta benda.

Kes jenayah menurun

Manakala jenayah ragut yang sering mendapat liputan meluas media, turun 16.63 peratus tahun lalu. Turut menurun ialah kes samun berkawan bersenjatapi (9 peratus), samun bersenjatapi (5.09 peratus) dan bunuh (12 peratus).

Kes jenayah perdagangan juga menurut tahun lalu sebanyak 9.6 peratus dengan nilai kerugian susut 8 peratus atau RM769 juta, RM856.3 juta tahun sebelumnya. Kes terbesar yang dilaporkan tahun lalu ialah pecah amanah dan penipuan (68.8 peratus).

Kejayaan lain PDRM ialah merampas semula 42 pucuk pistol, 40 pucuk revolver, lima laras rifel serta lebih 3,500 butir peluru pelbagai jenis daripada penjenayah.

Manakala Jabatan Narkotik pula berjaya memberkas 43,093 orang mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana kesalahan mengedar, memiliki dan menggunakan dadah meningkat 29.8 peratus dari tahun sebelumnya (33,187).

Seramai 1,894 pengedar dadah ditahan menurut Sekyen 39B yang membawa hukuman mati mandatori dengan nilai rampasan dadah tradisional sebanyak RM8.8 juta manakala dadah jenis sintetik melebihi RM43.7 juta.