Perdana Menteri mengucap tahniah kepada peserta Malaysia yang meraih pingat di Sukan Komanwel manakala Menteri Belia dan Sukan pula meluah kekecewaan kerana pasukan Skuasy negara gagal menyerlah di sukan tersebut.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Azalina Othman Said kecewa kerana pasukan skuasy lima anggota, termasuk pemain No. 1 dunia, Nicol David gagal menyumbang sebarang pingat.

Bagaimanapun, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, selaku Menteri Keselamatan Dalam Negeri bangga dengan pencapaian beberapa anggota pasukan Polis dalam dalam kontinjen Malaysia kerana berjaya meraih pingat.

Mereka ialah Konstabel Siti Zalina Ahmad dan Konstabel Wan Azlina Arshad yang masing-masing memperolehi emas dan gangsa bagi acara boling padang serta ASP Bibiana Ng dan Nurul Huda Baharin yang masing-masing meraih perak serta gangsa bagi acara menembak.

Perdana Menteri juga berharap setiap anggota pasukan akan meneruskan usaha memburu lebih banyak pingat sama ada emas, perak atau gangsa pada kejohanan itu yang akan berakhir secara rasmi esok.

Berbalik pada pasukan skuasy, Nicol merupakan taruhan terbaik Malaysia untuk memenangi pingat emas perseorangan wanita manakala gandingannya dengan Ong Beng Hee juga dijangka menghasilkan pingat dalam beregu campuran.

Menurut laporan Bernama, pasangan Nicol-Beng Hee ditewaskan oleh Tegwen Malik-Gavin Jones dari Wales 7-9, 9-5, 7-9, 8-10.

Badminton janji dua emas

Dalam Sukan Komanwel Manchester pada 2002, Nicol dan Beng Hee memenangi perak dalam beregu campuran tetapi kali ini pasukan skuasy negara pulang tanpa sebarang pingat.

Selain Nicol dan Beng Hee, anggota lain pasukan skuasy negara ialah Mohamad Azlan Iskandar, Sharon Wee dan Tricia Chuah.

"Skuasy mengecewakan kita. Kita menjangkakan Nicol menyumbang pingat tetapi nasib tidak menyebelahi kita," kata Azalina.

Sehari selepas tewas kepada pemain Australia, Natalie Grinham 10-9, 7-9, 9-4, 6-9, 3-9, dalam separuh akhir yang berlangsung 80 minit, Nicol kalah dalam perlawanan merebut pingat gangsa kepada Shelley Kitchen dari New Zealand 5-9, 9-6, 9-5, 9-2.

Ini merupakan kali pertama Nicol dikalahkan oleh pemain New Zealand itu selaku pemain nombor 14 dunia dan kekalahan kepada Grinham pula mengakhiri saingan tanpa kalah selama 14 bulan kepada pemain Australia itu.

Sementara itu, Sharon dan Tricia seperti yang diramal, gagal mara ke suku akhir manakala Mohamad Azlan dan Beng Hee juga mengalami nasib serupa setelah gagal melepasi perlawnan pusingan awal masing-masing.

"Kami akan mempertimbangkannya. Saya rasa atlet kita mempunyai kemahiran tetapi mereka hanya kurang dari segi kekurangan mental," kata Azalina.

"Kami akan membuat analisis terhadap prestasi atlet dan membentangkan laporan Isnin ini. Harap-harap ia dapat mempertingkatkan pencapaian mereka," katanya.

Sehingga kini, kontinjen Malaysia meraih empat emas, tujuh perak dan tujuh gangsa dalam sukan itu.

Selain itu, Malaysia turut memastikan sekurang-kurangnya dua emas lagi dalam acara badminton perseorangan dan beregu lelaki apabila pemain negara bertemu sesama sendiri pada perlawanan akhir malam ini.