Sempatkah Anwar bertanding dalam praya umum akan datang?
Adakah bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan dapat bertanding dalam pilihanraya umum yang akan datang?
Adakah bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan dapat bertanding dalam pilihanraya umum yang akan datang?
Semua itu bergantung kepada beliau sendiri dan lebih penting bilakah pilihanraya umum akan diadakan.
Tetapi Anwar merasakan beliau mungkin tidak dapat berbuat demikian kerana tarikh pilihanraya itu diadakan.
Malam tadi, bekas Timbalan Perdana Menteri itu memberitahu wartawan, beliau menjangka kerajaan Barisan Nasional (BN) akan mengadakan pilihanraya umum lebih awal untuk menyekatnya daripada bertanding.
Ini kerana di segi perundangan Anwar tidak boleh bertanding untuk sebarang jawatan politik sehingga April 2008 selepas menjalani hukuman penjara bagi kesalahan salahguna kuasa.
Beliau menjangka pilihanraya umum akan datang, akan diadakan sekurang-kurangnya setahun awal dari tarikh tamat tempoh lima tahun (pada April 2009).
Selain halangan di segi perundangan, Anwar yang kini menjadi penasihat kepada parti pembangkang Parti Keadilan Rakyat (PKR) pimpinan isterinya, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berpandangan bahawa beliau tidak seharusnya dinaifkan peluang untuk mengambil bahagian dalam proses demokrasi yang telah diceburinya sejak tahun 1982.
"Saya rakyat Malaysia, jadi mengapa saya tidak boleh bertanding? Saya terbabit sejak 1982 mengapa sekat saya? Kerajaan (bekas Perdana Menteri Tun) Dr Dr Mahathir (Mohamad) menggunakan mahkamah untuk menyekat saya, tetapi kini mereka tidak boleh lagi berbuat demikian.
"Saya akan bertanding jika ada kawasan pilihanraya dan Azizah bersedia untuk memberi laluan kerana saya tidak tahu jika ada kawasan lain selain daripada Permatang Pauh," katanya berseloroh.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan pihak media di majlis bersama media anjuran Pusat Pembangunan dan Penyelidikan Maklumat Strategi.
Sokongan menggalakkan
Anwar berkata, beliau akan menimbangnya secara serius bertanding dalam pilihanraya umum selepas menerima sokongan yang menggalakkan sejak pembebasannya pada September 2004.
"Tetapi saya tidak tahu sama ada kerajaan akan mengadakan pilihanraya umum sebelum April 2008...tetapi ada alasan untuk mempercayai yang mereka akan mengadakannya lebih awal," tambahnya.
BN, kata Anwar, mungkin terpaksa mengadakan pilihanraya umum lebih awal dari 2008 kerana keadaan ekonomi yang semakin buruk sekarang.
"Ekonomi tidak baik sekarang dan jika mereka terus dengan dasar-dasar yang ke kebekalang, saya tidak tahu macam mana keadaannya akan menjadi bertambah baik. Saya percaya mereka akan adakan (pilihanraya umum) lebih awal," katanya.
Anwar dipecat oleh Dr Mahathir pada September 1998 dan kemudiannya ditahan dan dibicara atas tuduhan salahguna kuasa dan liwat, dan dijatuhkan hukuman penjar sejumlah 15 tahun.
Dalam ucapan malam tadi, Anwar mengulangi kritikannya terhadap kerajaan kerana terus mempertahankan Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang menurutnya telah gagal memperbetulkan ketidakseimbangan ekonomi di antara orang Melayu dan kaum lain.
Katanya, beliau menyokong DEB apabila ia diperkenalkan pada 1970-1an kerana beliau percaya ia akan dapat meningkatkan status golongan miskin dan menggalakkan pembinaan masyarakat, tetapi menyedari kecacatannya pada 1990-an.
"Jika aada teliti ucapan saya, saya jarang sekali menyebut tentang DEB. Saya menyentuh tentang persaingan, globalisasi dan pentadbiran yang baik...dan itulah sebabnya saya dipecat!," katanya.
Katanya, sekarang sudah 2006 dan tindakan-tindakan atas alasan untuk melindungi hak orang Melayu tidak boleh lagi dipertahankan.
"Kerajaan terus menerus mempertahan dasar-dasar DEB atas alasan untuk melindungi kepentingan orang Melayu kerana pemimpin-pemimpin tertentu memperolehi faedah daripada dasar dari perniagaan kontrak dan saham," katanya.
Anwar, yang juga bekas Menteri Kewangan, mengingatkan kerajaan BN bahawa jika ia gagal menggubal dasar-dasar baru, maka negara mungkin hilang dayasaing ekonomi kepada negara jiran seperti Thailand dan Indonesia.
"Saya tidak tahu apa yang akan dibentangkan oleh perdana menteri mengenai Rancangan Malaysia Kesembilan, tetapi tanpa anjakan dasar dan strategi yang jelas untuk melaksanakannya dengan berkesan, kita akan ketinggalan. Kita sudah lama kalah kepada Singapura, kita ketinggalan kepada Thailand dan saya bimbang kita juga akan kalah kepada Indonesia.
"Kita kalah bukan kerana kita tidak menarik tetapi kita kalah kerana tidak adanya halatuju dan tolakan untk perubahan dan ini akan menjejaskan kepentingan negara," tambahnya.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.