Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui beliau gagal berunding dengan Singapura selama 22 tahun menjadi Perdana Menteri kerana republik itu tidak langsung memberikan kerjasama untuk menyelesaikan sesuatu isu.

"Masa mula-mula menjadi Perdana Menteri pada 1981, saya pergi ke Singapura untuk berbaik dengan Perdana Menterinya Lee Kuan Yew tetapi mereka tidak ikhlas untuk berbaik dengan kita," katanya di Alor Star hari ini.

Katanya, memandangkan Malaysia sendiri mempunyai pendirian, beliau ketika itu perlu membuktikan boleh membangunkan negara ini tanpa bekerjasama dengan Singapura.

Ketika menjawab soalan peserta forum "Cabaran Masa Depan Orang Melayu" anjuran Dewan Perhimpunan Melayu Kedah (DPMK) mengenai dasar untuk berbaik-baik dengan Singapura, Dr Mahathir berkata Singapura tidak mahu memberi sedikitpun lebih daripada apa yang diperolehinya.

"Malah ia akan meminta dua atau tiga kali lebih daripada apa yang diberikannya," katanya.

Tun Dr Mahathir berkata, keangkuhan Singapura jelas apabila menarik diri daripada menganggotai Pertubuhan Menteri Pelajaran Asia (SEAMEO) kerana enggan menyumbang $10,000 dollar yang diputuskan mesyuarat badan itu di Filipina walaupun ia sebuah negara kaya.

Tidak berhasil

"Sekarang mereka minta pasir dan ruang udara (kita) sebelum bersetuju membina jambatan baru menghubungkan kedua-dua negara bagi menggantikan Tambak Johor, tapi apa yang dia bagi pada kita? tiada...kosong," katanya.

Menurut laporan Bernama, Dr Mahathir berkata selama dua setengah tahun Malaysia berunding untuk menaikkan harga air yang dibayar negara itu sebanyak 3 sen bagi 1,000 gelen, tetapi tidak berhasil, sedangkan Singapura jual dengan harga $20 dollar atau RM40 bagi 1,000 gelen.

Beliau berkata selepas 2011, apabila perjanjian tamat, Singapura mempunyai cara supaya tidak perlu membayar walau sesenpun kepada Malaysia daripada apa yang telah dibayar sejak 1927 semasa rundingan dibuat.

"Tiga sen itu nak beli nasik lemakpun tak boleh. Kalau kita naik 6 sen, dia juga naikkan harga jualan balik air itu kepada kita daripada 50 sen kepada RM1 setiap 1,000 gelen.

"Sewa pangkalan tentera laut kita di Woodlands, kita bayar dia (Singapura) naik dan naik, sehingga kita terpaksa serah balik...tapi pernah dia kata ambil balik hak kita?" soal beliau.

Tun Dr Mahathir berkata terpulang kepada kerajaan sekarang untuk mengamalkan dasar berbaik-baik dengan negara jiran itu dan beliau berdoa barangkali pendekatan orang lain lebih berkesan dan berjaya selepas beliau gagal selama 22 tahun berunding dengan Singapura.