Bantah kenaikan harga minyak: 25 ditahan
Terjemahan Sekurang-kurangnya 25 orang ditahan hari ini di kawasan Menara Berkembar Petronas kerana enggan bersurai ketika menyertai perhimpunan membantah kenaikan harga minyak.
Terjemahan Sekurang-kurangnya 25 orang ditahan hari ini di kawasan Menara Berkembar Petronas kerana enggan bersurai ketika menyertai perhimpunan membantah kenaikan harga minyak.
Seramai kira-kira 1,500 orang menyertai bantahan tersebut yang diketuai Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) dan beberapa parti politik.
Antara yang ditahan ialah Ahli Jawatankuasa PAS pusat, Dr Hatta Ramli dan dua orang anak perempuannya Atiqah, 17 tahun, dan Amirah, 6 tahun.
Ketika demonstrasi itu bermula jam 10.10 pagi tadi, pihak polis memberi amaran bahawa ia perhimpunan haram yang diadakan tanpa permit dan mereka diberi tempoh 10 minit untuk bersurai.
Perhimpunan itu diteruskan dan Presiden MTUC, Syed Shahir Syed Mohamud serta Setiausaha Agungnya, G Rajasekaran, berucap mengecam kenaikan harga minyak dan barangan keperluan lain. Ini diikuti ucapan oleh beberapa pemimpin parti pembangkang dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan PAS.
Bagaimanapun apabila tempoh 10 minit itu hampir tamat, Timbalan Ketua Polis Dang Wangi, Mohd Rodzi Ismail mengarahkan kira-kira 50 anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU) dan 100 lagi anggota polis bersedia sedia untuk meleraikan perhimpunan tersebut.
Anggota polis pencegah rusuhan yang lengkap bersenjatakan belantan dan perisai, bersedia sedia bersama trak meriam air, sembilan ekor kuda dan dua ekor anjing polis.
Berikutan itu, mereka yang menyertai perhimpunan tersebut mula beredar dari kawasan KLCC tempat terletaknya Menara Berkembar Petronas.
Pemimpin PAS digari
Mereka berarak di sepanjang Jalan Sultan Ismail sambil membawa sepanduk serta melaungkan bantahan kenaikan harga minyak serta slogan reformasi. Apabila tiba di Jalan P Ramlee yang terletak 50 meter dari situ, mereka mula berpusing balik menuju ke KLCC.
Serentak dengan itu, pasukan polis terus bergegas ke pintu masuk KLCC untuk menyekat kira-kira 100 orang daripada memasuki kompleks membeli-belah di situ, menyebabkan berlakunya pergelutan antara mereka dengan pihak polis.
Berikutan itu, kira-kira 14 orang ditahan dan dibawa menaiki trak polis yang terletak dekat situ. Manakala yang lainnya masih berbaris di Jalan Ampang.
Kira-kira jam 12.30 tengahari, Dr Hatta dan dua anak perempuannya yang menyertai demonstrasi dekat Ampang Park, kira-kira 50 meter dari KLCC, ditahan polis.
Hatta digari ketika dibawa menaiki trak polis di KLCC. Turut ditahan bersama Dr Hatta adalah Ketua Muslimat PAS, Athirah Al-Jundi.
Kesemua mereka yang ditahan itu dibawa ke balai polis dan sehingga ini, masih ditahan. Berita asal


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.