Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
My Sports Challenge tidak ganti Hari Sukan Negara - KBS
Diterbitkan:  Aug 23, 2019 4:20 PM
Dikemaskini: 9:16 AM

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menjelaskan bahawa Malaysia Sports Challenge (MySC) 2019 merupakan inisiatif baru yang diperkenalkan bawah Bulan Sukan Negara, selain Hari Sukan Negara yang masih akan dijalankan seperti dijadualkan.

Kata KBS, MySC adalah “penambahbaikan” terhadap Hari Sukan Negara dan kedua-dua program itu merupakan antara program yang dianjurkan bawah Bulan Sukan Negara sepanjang Oktober nanti.

“MySC 2019 ialah inisiatif baharu yang diperkenalkan oleh KBS bermula pada tahun 2019 bertujuan untuk menambah baik konsep Hari Sukan Negara yang telah dilaksanakan sebelum ini.

“Malaysia Sports Challenge merupakan salah satu aktiviti di bawah inisiatif Bulan Sukan Negara yang telah mendapat sokongan untuk membudayakan sukan dalam sektor korporat,” kata KBS dalam satu kenyataan.

Menurut kenyataan tersebut, Hari Sukan Negara akan diadakan pada 12 Oktober 2019.

Sebelum ini, MySC menimbulkan kontroversi kerana dijangka suatu penjenamaan semula bagi menggantikan Hari Sukan Negara.

Antara yang membantah ‘penjenamaan semula’ tersebut ialah Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Pena) dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang menganggapnya tidak mendahulukan bahasa kebangsaan. 

Kenyataan timbalan menteri sebelum ini

Timbalan Menteri Belia dan Sukan Steven Sim ketika ditanya media sebelum ini mempertahankan penggunaan nama Inggeris bagi Malaysia Sports Challenge dan mengatakan ia bukan tembok penghalang kepada penyertaan lebih ramai masyarakat.

"Saya rasa tak ada masalah sebab intipatinya masih lagi Malaysia, penganjurnya orang Malaysia juga dan juga pesertanya ramai orang Malaysia.

"Dan saya rasa orang Malaysia tidak janggal tak kira jenamanya bahasa apa, orang Malaysia tak janggal untuk berhadapan dengan penggunaan bahasa," katanya. 

Bagaimanapun Presiden Pena, Dr Mohamad Saleeh Rahamad berkata, setiap program rasmi kerajaan sepatutnya menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

“Malaysia Sports Challenge boleh saja disebut Cabaran Sukan Malaysia atau Tantangan Sukan Negara atau sebarang nama lain,” katanya dalam satu kenyataan media.

Lihat Komen
ADS