Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Bencana akibat perubahan iklim makin kerap - Laporan Asia Pasifik

GLOBAL | Bencana, terutama yang berpunca daripada perubahan iklim dan degradasi alam sekitar sudah menyimpang daripada kebiasaannya dan kini semakin meningkat dari segi intensiti, kekerapan dan kekompleksannya.

Laporan Bencana Asia Pasifik 2019 yang dilancarkan pada Khamis mendedahkan bahawa bencana kini lebih sukar ditentukan kawasan di mana perlu diadakan persiapan untuk menghadapinya dan untuk bencana apa.

Bagi tahun lepas, laporan itu menyatakan bahawa separuh daripada 281 bencana semula jadi di seluruh dunia, berlaku di tantau ini, termasuk lapan daripada 10 bencana paling dahsyat.

“Purata 142 juta penduduk di rantau ini telah terjejas setiap tahun sejak 1970, lebih tinggi daripada purata dunia sebanyak 38 juta.

“Bencana juga telah menyebabkan kerosakan ekonomi dalam skala besar. Antara 1970 dan 2018, rantau ini kerugian AS$1.5 trilion, kebanyakannya disebabkan oleh banjir, ribut dan kemarau serta gempa bumi termasuk tsunami. Kos kerugian semakin meningkat,” menurut laporan itu.

Buat kali pertamanya Laporan Bencana Asia-Pasifik itu memasukkan kos bencana yang berlaku lambat laun terutama kemarau yang mengakibatkan kerugian ekonomi empat kali ganda lebih besar berbanding anggaran sebelumnya.

Beliau berkata kerugian ekonomi tahunan bagi Asia dan Pasifik kini sebanyak AS$ 675 bilion, atau sekitar 2.4 peratus daripada KDNK rantau ini, yang mana AS$ 405 bilion atau 60 peratus adalah kerugian pertanian berkaitan kemarau, yang menjejaskan penduduk miskin di luar bandar secara tidak seimbang.

Sementara itu, Penolong Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu merangkap Setiausaha Eksekutif Suruhanjaya Ekonomi dan Sosial bagi Asia serta Pasifik (ESCAP) Armida Alisjahbana berkata masyarakat yang terdedah kepada bencana serta masyarakat terpinggir adalah antara yang paling teruk terjejas oleh bencana di rantau ini.

Beliau berkata hampir 40 peratus kesan bencana adalah terhadap sektor sosial yang menyebabkan ketidaksamaan peluang lebih dalam, yang diperturunkan dari generasi ke generasi.

Beliau berkata bencana juga telah memperlambatkan usaha mengurangkan kemiskinan.

“Jumlah penduduk yang hidup miskin tegar (berpendapatan bawah AS$1.90 sehari) diunjurkan akan menjadi sebanyak 56 juta orang menjelang 2030. 

"Bagaimanapun, risiko bencana yang tidak dimitigasi, angkanya meningkat lebih sekali ganda kepada 123 juta orang.

“Bagaimanapun, perkara ini tidak dapat dielakkan. Kerajaan boleh memecahkan kitaran ganas ini dengan membuat pelaburan untuk mengelak risiko bencana dan laporan menunjukkan bahawa pelaburan yang dibelanjakan adalah lebih kecil nilainya berbanding kerosakan dan kerugian akibat bencana yang tidak dimitigasi.

“Tambahan pula, pelaburan itu juga akan memberi banyak faedah sampingan -- dalam bentuk pendidikan, kesihatan, perkhidmatan sosial dan infrastruktur, dan pengeluaran dan pendapatan pertanian yang lebih tinggi,” katanya.

Laporan Bencana Asia-Pasifik itu, penerbitan utama ESCAP, yang diterbitkan setiap dua tahun dilancarkan di Bangkok hari ini.

Laporan itu menyasarkan untuk membantu pembuat dasar, dalam kedua-dua sektor awam dan swasta, untuk memahami dengan lebih baik risiko dan ketahanan menghadapi bencana dan merebut peluang-peluang yang banyak untuk mengambil tindakan.

- Bernama

Lihat Komen
ADS