Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Polis ambil keterangan Adun Semambu isu himpunan anti-Lynas

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Semambu, Lee Chean Chung hari ini memberikan keterangan kepada pihak polis bagi membantu siasatan berkaitan perhimpunan anti-Lynas yang berlangsung di Taman Gelora di Kuantan, Pahang pada Ahad lepas.

Lee berkata, pegawai penyiasat kes itu mengambil keterangannya selama 45 minit di Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Semambu dan beliau telah memberi kerjasama sepenuhnya.

"Antara soalan yang ditanya ialah mengenai penglibatan saya dalam perhimpunan itu, jika saya tahu perhimpunan itu diadakan tanpa permit dan adakah saya menyampaikan ucapan pada hari berkenaan," katanya kepada pemberita.

Lee berkata, turut memberi keterangan ialah Pengerusi Save Malaysia Stop Lynas (SMSL), Tan Bun Teet selaku penganjur perhimpunan dan Setiausaha Persatuan Solidariti Hijau Kuantan, Chu Seng Pong.

Pada Ahad lepas, Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Mohamad Noor Yusof Ali mengesahkan perhimpunan membantah lesen operasi kilang nadir bumi Lynas Malaysia Sdn Bhd (Lynas) itu tidak memenuhi peruntukan Akta Perhimpunan Aman 2012.

Ini kerana perhimpunan yang hanya menarik kehadiran 200 orang itu tidak memperoleh kebenaran daripada Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) selaku pemilik premis lokasi perhimpunan diadakan.

Pada Khamis lepas, polis selesai mengambil keterangan ADUN Teruntum, Sim Chon Siang dan peguam SMSL, Hon Kai Ping juga bagi membantu siasatan kes itu.

- Bernama

Lihat Komen
ADS