Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Anwar Ibrahim menghargai tindakan penganjur perhimpunan di Brickfields yang membatalkan rancangan mengadakan satu lagi bantahan hari ini, kata sumber yang rapat dengan presiden PKR itu.

Bagaimanapun, sumber menafikan Anwar yang membuat panggilan telefon kepada Shankar Ganesh pada malam tadi.

"Dia yang merayu untuk bercakap dengan Anwar Ibrahim, jadi saya nasihatkan untuk berhenti menjaja nama Anwar Ibrahim telefon dia

"Namun kami ucapkan terima kasih kerana batalkan himpunan dan dengar nasihat... bukan saja Anwar Ibrahim tapi polis.

"Anwar juga komited untuk membantu masyarakat India sebagaimana dia tekad membantu semua rakyat Malaysia," kata sumber kepada Malaysiakini.

Malam tadi, Shankar mengeluarkan kenyataan mengumumkan himpunan itu dibatalkan.

Katanya, Anwar telah menelefonnya meminta supaya bantahan itu tidak diteruskan dan berjanji membantu masyarakat India.

Terdahulu, petang semalam juga, presiden PKR menggesa supaya perhimpunan tersebut dibatalkan bagi mengelakkan ketegangan kaum.

Himpunan yang dibatalkan itu bertujuan menyuarakan isu-isu seperti pertukaran agama anak-anak secara sepihak oleh ibu atau bapa, polemik pendakwah Zakir Naik, agihan peruntukan Unit Transformasi Masyarakat India (India) dan warga negara tanpa dokumen pengenalan.

Bantahan yang tidak jadi dibuat itu susulan satu lagi perhimpunan semalam, juga di Brickfields yang membantah pengenalan tulisan Jawi dalam pelajaran Bahasa Malaysia darjah empat sekolah Tamil.

Dalam video yang disiarkan di media sosial hari ini, Shankar berulang kali mendakwa Anwar menelefonnya pada jam 10 malam.

Dia juga memuji presiden PKR, berkata Anwar satu-satunya pemimpin yang berkomunikasi dengannya.

Jelas Shankar lagi, himpunan semalam boleh saja diteruskan dan dirinya dapat menjadi pemimpin terkenal tetapi memutuskan untuk membatalkannya kerana mempertimbangkan faktor keselamatan peserta bantahan.

"Saya boleh teruskan rally tu dan akan ada orang yang back up saya panggil saya ketua apa semua... tetapi sekarang ini saya (mahu) dapat nama popular ataupun kita nak selesaikan masalah ini. Mana lagi penting?

"Saya nak rakyat dapatkan suara tapi keselamatan mereka juga penting, kalau saya teruskan mungkin ramai juga akan ditangkap," katanya.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS