Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Tunai amanah, bukan asyik fikir siapa harus jadi nombor satu'

Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari menyeru pihak tertentu supaya berhenti membangkitkan isu siapa paling layak menjadi pemimpin nombor satu dalam kerajaan.

“Kadang-kadang ada keterujaan dalam kalangan masyarakat dan sebahagian kawan-kawan kita yang tak sudah-sudah membangkitkan, menimbulkan itu dan ini, ikut kumpulan ini, ikut kumpulan itu.

“Hari-hari asyik fikir politik. Ada yang nak menangkan parti kita dan nak menangkan kawan-kawan kita.

“Adalah lebih baik kita fikirkan cara untuk tunaikan amanah rakyat, bukannya asyik fikirkan siapa yang harus menjadi pemimpin nombor satu, dua, tiga dan empat dalam pentadbiran kerajaan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Mesyuarat Agung Tahunan Wanita Cabang PKR peringkat Selangor 2019 di Shah Alam, hari ini..

Amirudin yang juga Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Selangor berkata harapan rakyat kepada PH adalah tinggi termasuk mahu kerajaan memenuhi janji yang dibuat pada pilihan raya umum yang lalu.

“Sekarang masa untuk mengisi ruang dan peluang yang diamanahkan. Janganlah kita gagal tunaikan peluang yang kita miliki ini,” katanya.

Isu mengenai peralihan jawatan perdana menteri kerap dibangkitkan oleh sebahagian pimpinan PKR sehingga timbul gesaan agar Dr Mahathir Mohamad segera berundur daripada jawatannya.

Ia mendorong spekulasi berlaku perebutan jawatan perdana menteri antara Presiden PKR, Anwar Ibrahim dan timbalannya, Azmin Ali.

Amirudin sendiri dilihat sebagai penyokong kuat kepada Azmin.

Akan siasat dakwaan korek pasir

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Amirudin berkata kerajaan negeri memandang serius aktiviti mengorek pasir di luar muara Sungai Langat.

Beliau menegaskan pihaknya akan menyiasat perkara tersebut sama ada ia dilakukan secara sah atau sebaliknya.

“Saya baru dapat laporan mengenai isu ini. Kerajaan negeri tidak keluarkan lesen (mengorek pasir) untuk laut, yang dibenarkan hanya di sungai.

“Tapi apa pun kita kena siasat. Kita kena siasat sama ada aktiviti yang dimaksudkan ini adalah aktiviti haram atau mempunyai lesen,” katanya mengulas dakwaan pendapatan golongan nelayan merosot akibat kegiatan berkenaan.

Berita Harian semalam mendedahkan pendapatan kira-kira 250 nelayan Pangkalan Kelanang, Kuala Langat merosot sehingga 70 peratus, berikutan kegiatan mengorek pasir di luar muara Sungai Langat sejak empat tahun lalu.

Laporan itu turut mendedahkan kegiatan mengorek pasir, penambakan pesisir pantai serta pencerobohan nelayan asing antara punca utama menjejaskan hasil laut nelayan.

Lihat Komen
ADS