Dua anggota militan Islam itu dituduh melindungi suspek pengganas, Noordin Mohammad, yang menjadi buruan pihak berkuasa dan pihak pendakwa mahu mereka masing-masing dikenakan hukuman penjara enam dan 10 tahun penjara.

Pihak pendakwa di mahkamah daerah selatan Jakarta berkata, Purnama Putra, 24, bersalah kerana membantu Noordin yang diburu berhubung serangan bom yang mengorbankan sekurang-kurangnya 245 orang sejak 2002. Mereka menggesa supaya Purnama dihukum 10 tahun penjara.

Putra dituduh menemui Noordin di bandar Surabaya di Jawa Timur pada bulan Mei 2004 dan atas permntaannya, telah mengambil senjatapi, peluru, bahan letupan, peledak letupan dan wayar.

Barang-barang tersebut diserahkan, melalui Ahmad Rofik Ridho, kepada Noordin pada bulan September tahun lalu. Dalam mahkamah lain minggu lalu, pihak pendakwa menggesa mahkamah menjatuhkan hukuman 10 tahun penjara ke atas Ridho.

Noordin dan rakan senegaranya dari Malaysia, Azahari Husin yang terbunuh dalam serbuan polis November lalu merupakan anggota penting Jemaah Islamiyah (JI) yang dikaitkan dengan kumpulan Al-Qaeda.

'Lindungi Noordin'

Dalam perbicaraan kedua di mahkamah yang sama, pihak pendakwa menggesa supaya Johnny Ahmad Fauzani, 32, dikenakan hukuman enam tahun penjara kerana ditubuh melindungi Noordin dan tiga lagi anggota militan selama dua minggu pada bulan Februari 2005.

Pihak pendakwa berkata, walaupun Fauzani menyedari bahawa Noordin adalah seorang pengganas yang dikehendaki, beliau gagal memaklumkannya kepada pihak berkuasa.

Kedua-dua perbicaraan tersebut akan disambung dalam tempoh seminggu lagi.

Mereka berdua adalah antara 270 orang yang didakwa anggota militan Islam yang ditahan polis Indonesia sejak serangan bom di Bali pada 2002 yang didakwa dilakukan oleh JI yang mengorbankan 202 orang.

- AFP