Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) akan memberhentikan satu pertiga atau kira-kira 6,500 kakitangannya dan menyerahkan penerbangan domestiknya, kecuali 19 laluan, kepada syarikat tambang murah AirAsia di bawah rancangan rasionalisasinya.

MAS juga akan kehilangan subsidi kerajaan di bawah rancangan tiga tahun pemulihannya bagi kembali mencatat keuntungan mulai 2007, demikian menurut satu kenyataan Jabatan Perdana Menteri lewat semalam.

Di bawah struktur baru itu yang berkuatkuasa 1 Ogos, AirAsia akan mengambil alih 96 laluan domestik MAS, yang sebahagian besarnya tidak menguntungkan MAS.

MAS akan hanya mengendalikan baki penerbangan utama domestik, ke destinasi utama seperti pulau peranginan Langkawi dan pusat pelancongan di Sabah dan Sarawak, manakala tumpuan utamanya adalah kepada penerbangan peringkat antarabangsa.

Bagi melaksanakan proses rasionalisasi ini, kerajaan akan menawarkan pampasan bagi pemansuhan perjanjian penguraian perniagaan domestik di antara MAS dan Penerbangan Malaysia Bhd.

"Dengan ini akaun untung rugi untuk penerbangan domestik MAS akan ditanggung oleh MAS dan tidak lagi oleh kerajaan.

"Kerajaan tidak akan memberi subsidi kepada MAS atau AirAsia untuk beroperasi di sektor penerbangan domestik," katanya,

AirAsia, syarikat penerbangan tambang murah terbesar di rantau ini, mahu mengambil alih laluan penerbangan domestik, terutama yang tidak menguntungkan MAS, terutama ke kawasan luar bandar dan bandar-bandar kecil.

Era baru bermula

MAS yang mengumumkan bulan lalu, rancangannya untuk kembali mencatat keuntungan, berkata ia akan memberhentikan kira-kira 6,500 daripada 23,000 kakitangannya dan mengurangkan jumlan pesawatnya dari 40 kepada 21 buah.

Pengarah Urusan MAS yang baru, Idris Jala menyifatkan kerjasama dengan AirAsia itu sebagai "satu permulaan era baru dalam industri penerbangan di Malaysia".

Perubahan itu adalah sebahagian daripada rancanga pemulihan bernilai RM4 bilion yang diumumkan Februari lalu untuk memulihkan syarikat penerbangan negara itu yang mengalami kerugian RM1.3 bilion dalam tahun kewangan 2005.

Syarikat itu juga merancang untuk mengurangkan penerbangan laluan antarabangsa yang tidak menguntungkan dan menjual bangunan ibupejabatnya di Kuala Lumpur.

Menurut MAS, syarikat penerbangan negara itu mengalami kerugian kerana kenaikan harga minyak dan kekurangan jumlah penumpang dan berharap kembali mencatatkan keuntungan mulai 2007.

- AFP