Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Lepas tangkapan, KPM saran AATC, pelajar berunding
Diterbitkan:  Aug 28, 2019 1:15 PM
Dikemaskini: 8:40 AM

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menyarankan Pusat Latihan Aeronautik Bersekutu (AATC) di Petaling Jaya berunding dengan pelajar berkaitan ketidakpuasan hati yang membawa kepada demonstrasi kelmarin.

"Walaupun, AATC tidak tertakluk bawah bidang kuasa KPM kerana ia merupakan pusat latihan kendalian sektor swasta yang diperakui oleh Lembaga Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).

"Namun atas prinsip dan semangat demokrasi, KPM berharap isu ini dapat diselesaikan dengan jalan paling harmoni," kata KPM dalam kenyataan media hari ini.

Lapan pelajar AATC ditahan polis kerana didakwa menghalang penjawat awam daripada menjalankan tugas dalam demonstrasi itu.

Turut ditahan ialah anggota jawatankuasa pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM) Sharan Raj, yang juga penasihat kepada kesatuan pelajar pusat latihan itu.

Peserta mendakwa, mereka berdemonstrasi susulan pengurusan membuang dua pelajar kerana terlibat menubuhkan kesatuan pelajar.

Sementara itu, KPM berkata mereka percaya agensi yang bertanggungjawab akan mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan kepentingan pelajar dan AATC terpelihara.

Sementara itu, Kesatuan Pelajar AATC (AATC SU) mengesahkan bahawa pihaknya akan mengadakan perjumpaan dengan pengurusan AATC esok.

Dalam kenyataannya, AATC SU memberitahu mereka telah berjumpa dengan Menteri Sumber Manusia M Kulasegaran pada 9 pagi hari ini di kementeriannya, Putrajaya.

Lihat Komen
ADS