PMR: Ibu pelajar autistik rayu longgarkan peraturan peperiksaan
Ibu kepada seorang pelajar autistik terpaksa beralih kepada pihak media mengenai masalah anaknya itu selepas usahanya untuk menghubungi Jabatan Pendidikan Khas sekitar Januari lalu, menemui jalan buntu.
Ibu kepada seorang pelajar autistik terpaksa beralih kepada pihak media mengenai masalah anaknya itu selepas usahanya untuk menghubungi Jabatan Pendidikan Khas sekitar Januari lalu, menemui jalan buntu.
Beliau kecewa apabila surat yang dihantar kepada pejabat Menteri Pelajaran pada 19 Mac lalu masih belum dijawab.
"Tujuan saya menghantar surat itu ialah untuk menemui Menteri Pelajaran bagi menerangkan sendiri situasi anak saya kepada beliau," katanya.
Ibu tersebut, Che An Abdul Ghani membuat merayu kepada Menteri Pelajaran Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein supaya memberi kelonggaran kepada anaknya, Yuri Azzari Yuri Zaharin, menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) secara berperingkat-peringkat selama dua tahun.
Katanya, kelonggaran tersebut akan membolehkan anaknya menduduki empat mata pelajaran pada 2006 dan selebihnya pada 2007.
Pesakit austisme tidak berkeupayaan berhubung dan memahami pertuturan orang lain secara normal kerana otak mereka tidak dapat memproses dan menerima apa yang mereka dengar, seolah-olah mereka berada dalam "dunia mereka sendiri".
Menurut Che An anaknya itu tidak mempunyai keupayaan kognitif untuk menduduki kesemua lapan kertas PMR pada 2006.
Beliau membuat rayuan tersebut selepas beliau mendapatkan pandangan guru kelas khas Sekolah Menengah Putrajaya Presint 11 (1) tentang pencapaian Yuri serta pandangan pakar psikitari.
Sukar beri tumpuan
"Saya dapati anak saya kurang fokus, hiperaktif dan tidak dapat menumpukan pelajaran di sekolah dan juga ulang kaji di rumah," katanya kepada Bernama di rumahnya di Equine Park, Seri Kembangan, Kuala Lumpur.
Malah ketika temubual dengan ibunya, Yuri Azzari, 16, yang mempunyai bentuk fizikal seperti remaja normal sebaya usianya, asyik "menyanyi" tanpa mempedulikan kehadiran penulis sebagai tetamu di rumahnya.
"Ini bukan soal penangguhhan seperti yang diperuntukkan oleh dasar. Ini soal keterbatasan kemampuan anak saya untuk menduduki ujian itu. Saya tahu kalau ditangguhkan lima tahun pun dia tak dapat buat (PMR)," katanya.
Che An juga meminta Kementerian Pelajaran mengkaji semula sistem dalam Kurikulum Program Pembelajaran Bermasalah di kelas khas kepada pelajar istimewa memandangkan akhirnya mereka terpaksa menduduki kertas peperiksaan yang sama dengan pelajar normal lain.
Kurikulum Program Pembelajaran Bermasalah peringkat rendah atau peringkat menengah ialah kurikulum yang dipermudahkan kepada pelajar istimewa terdiri daripada penghidap sindrom autisme, sindrom down, hiperaktif, "attention deficit disorder" (ADD) dan lain-lain.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.