story images
story images
mk-logo
Berita
Siti Kasim tubuh NGO Maju bawa suara 'sederhana, progresif, liberal'

Peguam dan aktivis Siti Kasim hari ini melancarkan NGO Malaysian Action for Justice and Unity Foundation, atau Maju, yang menurutnya bertujuan menjadikan suara rakyat Malaysia yang "sederhana, progresif dan liberal" lebih didengari.

Siti yang memang dikenali dengan kelantangannya berhubung isu hak asasi menusia berkata golongan itu dilihat takut untuk mempertahankan hak mereka.

"Kami menyedari suara rakyat daripada golongan yang sederhana, liberal dan progresif adalah tidak didengari dan tidak teratur.

"Suara atau pendapat mereka sering kali tidak dikemukakan kerana mereka takut dan mengaggap telah melakukan satu kesalahan.

"Ini akan menyebabkan suara dan pendapat yang ingin dikemukakan tidak sampai kepada pihak yang sepatutnya dan hilang begitu sahaja," katanya dalam sidang media pelancaran Maju di sebuah restoran di Pataling Jaya, Selangor hari ini.

Menurutnya, Mahu tidak dipengaruhi mana-mana parti politik sebaliknya hanya akan memberi tumpuan melindungi hak dan kebebasan warganegara seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

"Kami berharap pertubuhan ini akan mendapat sokongan padu daripada aktivis, pelobi, pakar strategi perhubungan dan peguam yang mengendalikan kes berkaitan kepentingan awam, ke arah mencapai kesamarataan, keadilan dan kebebasan khususnya untu komuniti yang lemah dan ketinggalan," katanya.

Menurut Siti, antara perkara yang menjadi keutamaan Maju ialah memperkasakan kebebasan awam, perlindungan komuniti terpinggir, pendidikan yang progresif dan perpaduan rakyat.

Mereka yang ingin menganggotai Maju boleh melawat ke laman sesawangnya dan akan mendapat nombor keahlian dengan bayaran RM50 setahun.

"Kita mahukan pendaftaran dengan cara yang betul kerana selama ini, hanya parti politik yang mendakwa mempunyai penyokong dengan angka mereka," katanya yang mengharapkan NGO itu berjaya mengumpul satu juta ahli.

Lagi berita dari pengarang :
Lihat Komen
Paling Popular
Terkini