Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Jalil Rasheed dilantik presiden, ketua eksekutif kumpulan PNB

Jalil Rasheed dilantik sebagai presiden dan ketua eksekutif Kumpulan Permodalan Nasional Bhd (PNB) berkuat kuasa 1 Oktober.

Beliau menggantikan Abdul Rahman Ahmad yang akan dilantik sebagai pengerusi bukan eksekutif bukan bebas Sime Darby Bhd (SDB) pada 1 September, sebelum mengisi jawatan pengerusi pada 31 Okt.

SDB ialah antara syarikat strategik utama PNB dan menguasai 52 peratus kepentingannya.

Dalam kenyataan, PNB berkata Jalil kini berkhidmat sebagai ketua pegawai eksekutif (CEO) operasi Asia Selatan bagi Invesco, firma pelaburan utama global, mengurus lebih US$1.2 trilion dalam pelbagai kelas aset di lebih 25 negara.

Pelantikannya adalah selari dengan usaha kerajaan untuk mengoptimumkan bakat global Malaysia, selain konsisten dengan inisiatif strategik PNB untuk mempelbagaikan aset globalnya.

Lulusan Sarjana Sains dalam Perakaunan dan Kewangan (Kepujian) dari The London School of Economics & Political Science (LSE), United Kingdom, Jalil memulakan kejayanya pada 2003 sebagai graduan pelatih di Aberdeen Standard Investments.

Beliau kemudiannya menjadi pengurus pelaburan dan ketua ekuiti sebelum mengambil alih jawatan CEO di Aberdeen Islamic Asset Management pada 2010.

Jalil meninggalkan Aberdeen untuk menyertai Invesco pada 2013, dan sejak itu menjadi CEO (Asia Selatan).

Ahli Lembaga Pengarah PNB juga mengalu-alukan Jalil dan menyuarakan harapan agar beliau dapat mengetuai syarikat itu dalam perjalanannya menjadi institusi pelaburan bertaraf lain daripada yang lain.

-Bernama

Lihat Komen
ADS